Wednesday, October 15, 2014

PKBM Nafi Abaikan Kebajikan Atlet, Bekas Atlet Bina Badan

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Persatuan Bina Badan Malaysia (PBBM) sentiasa menjaga kebajikan atlet dan bekas atletnya termasuk menghulurkan bantuan kepada mereka.

Setiausaha Kehormat PBBM Kamaruzaman Kadir berkata persatuan itu sememangnya mengambil berat mengenai mereka termasuk bekas jaguh bina badan negara, Bujang Taha, yang meninggal dunia di Kuching pada Ahad.

"Persatuan tidak pernah mengabaikan kebajikan golongan berkenaan malah sentiasa menghulur bantuan walaupun sedikit untuk meringankan beban...tetapi tidak perlulah dihebohkan," katanya kepada Bernama pada Selasa.

Justeru itu, beliau menafikan dakwaan bekas jaguh bina badan negara Datuk Malek Noor bahawa PBBM tidak membela nasib bekas atletnya termasuk allahyarham Bujang, 77, yang meninggal dunia akibat komplikasi kanser mulut, kanser paru-paru dan asma.

Kamaruzaman berkata pihaknya pernah memberikan allahyarham Bujang satu trofi khas sebagai ganti kepada trofi-trofinya yang rosak akibat kebakaran.

Beliau juga meminta pihak yang tidak berpuas hati dengan PBBM supaya mendapatkan penjelasan daripada persatuan itu sebelum membuat dakwaan yang boleh menjejaskan imej PBBM.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment