Tuesday, October 28, 2014

Penubuhan Jawatankuasa Khas Bam-KBS Perlu - Khairy

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Keputusan menubuhkan Jawatankuasa Khas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu bagi memastikan persiapan dapat diambil jika ujian sampel B pemain badminton negara positif.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata penubuhan jawatankuasa itu juga penting bagi memastikan segala maklumat berkaitan isu doping itu dapat diselaraskan.

"Jawatankuasa khas ini memang patut (ditubuhkan) sebab kita dimaklumkan, pada 4 atau 5 Nov ini ujian untuk sampel kedua (sampel B) akan dibuat. Kalau ujian itu negatif maka tiada masalah. Cuma dengan adanya jawatankuasa ini, dapat kita tahu dengan lebih teliti apa sebenarnya berlaku.

"Ia amat penting kerana apabila kita buat siasatan nanti dan segala persiapan dibuat...sekiranya ujian kedua positif, kita boleh merayu kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan dan proses itu memerlukan jawatankuasa khas daripada BAM dan KBS," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda Umno di Menara Dato Onn di sini, pada Isnin.

Khairy diminta mengulas pengumuman BAM semalam untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas yang diketuai Timbalan Presidennya Datuk Norza Zakaria bagi membantu mempertahan pemainnya yang didapati gagal ujian doping baru-baru ini.

Semalam, Norza turut mengesahkan bahawa bahan terlarang yang diambil atlet terbabit ialah 'dexamethasone' iaitu sejenis ubat penahan sakit untuk kecederaan yang dialaminya.

Sebelum ini, laporan media tempatan mendedahkan seorang atlet tersohor negara yang meraih pelbagai kejuaraan di pentas antarabangsa didapati gagal dalam ujian doping sampel A dan positif menggunakan bahan terlarang.

Insiden itu didakwa berlaku ketika pemain berkenaan beraksi dalam Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark pada Ogos lepas.

Ditanya kemungkinan KBS melaksanakan 'tindakan dalaman' pada masa akan datang sebagai langkah tegas mengawal atlet negara daripada terbabit dalam penyalahgunaan bahan terlarang, Khairy berkata langkah itu tidak perlu.

"Sesiapa yang bersalah dari segi doping, dia akan jalani penggantungan secara automatik selama dua tahun. Bagi saya, itu lebih tegas daripada apa-apa tindakan dalaman," katanya.

Mengenai keputusan Pesuruhjaya Sukan Ahmad Shapawi Ismail yang menggantung pendaftaran Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia seperti dilaporkan media Jumaat lepas, Khairy berkata persatuan itu mempunyai 30 hari untuk membuat rayuan.

Berhubung pencapaian atlet negara di Sukan Para Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan baru-baru ini, Khairy berkata beliau akan bertemu dengan ketua kontinjen Datuk Ab Jalil Abdullah dan persatuan sukan terbabit esok.

Pada temasya itu, atlet paralimpik negara mengejutkan banyak pemerhati dengan kejayaan luar biasa apabila berjaya membawa pulang 15 pingat emas, 20 perak dan 27 gangsa untuk berada di kedudukan ketujuh secara keseluruhan

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment