Thursday, October 16, 2014

Pemain perlu ada kesedaran


POLISI ‘whistle blower’ diperakui sebagai salah satu langkah yang baik untuk melindungi pemain atau jurulatih yang memberikan maklumat, namun pemain perseorangan negara, Chong Wei Feng percaya usaha untuk membanteras skandal mengatur perlawanan akan lebih berhasil jika setiap pemain mempunyai sikap integriti yang tinggi.

Jelas pemain berusia 26 tahun itu lagi, setiap pemain badminton juga perlu berani kerana tindakan mereka mendedahkan maklumat mengenai individu yang cuba memberikan sogokan untuk mengubah keputusan perlawanan hanya akan membahayakan keselamatan masing-masing.

“Ini kali pertama saya mendengar mengenai polisi ‘whistle blower’, saya tahu pada kejohanan tempatan pun ada kemungkinan pemain-pemain negara akan cuba didekati individu yang mahu memberikan sogokan supaya mengubah keputusan perlawanan tetapi keputusan untuk melaporkannya atau tidak, bergantung kepada pemain itu sendiri.

“Untuk kebaikan sukan badminton saya percaya polisi ‘whistle blower’ merupakan salah satu langkah yang terbaik dan memang bagus jika ia turut diadakan di sini (Persatuan Badminton Malaysia) tetapi keputusan tetap terletak di tangan pemain, mereka yang menentukan sama ada untuk melaporkannya atau tidak.

“Masalah pemain mengatur perlawanan memang sukar untuk dielak, bukan dalam badminton sahaja semua sukan sama sahaja, cuma apa yang dirisaukan sebagai pemain ialah sama ada identiti mereka didedahkan atau dibocorkan oleh orang dalaman itu sahaja.

“Pendapatan pemain juga tidak banyak, mereka pun cari makan dengan bermain badminton. Saya percaya jika mereka ambil atau tidak ambil (duit sogokan) mereka juga belum tentu akan buat laporan,” kata Wei Feng ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Polisi ‘whistle blower’ mula diperkatakan selepas pendedahan yang dilakukan pemain perseorangan Denmark, Hans Kristian Vittinghus dan Kim Astrup yang mendakwa mereka cuba didekati bookie untuk mengatur perlawanan pada Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Jepun pada Jun lalu seperti yang dilaporkan laman web Badzine (www.badzine.net) baru-baru ini.

Apa yang mengejutkan ialah kedua-dua pemain Denmark itu membuat dakwaan bahawa mereka cuba didekati oleh rakyat Malaysia yang cuba memberikan sogokan antara RM10,000 hingga RM12,000.
Persatuan Badminton Dunia (BWF) turut mengeluarkan kenyataan mengenai insiden itu, walaupun mereka tidak mendedahkan nama pemain yang membuat laporan, badan dunia itu, bagaimanapun memuji tindakan kedua-dua pemain tersebut yang menolak pelawaan individu tersebut.

BWF turut memberi penekanan bahawa polisi ‘whistle blower’ yang diperkenalkan pada awal tahun ini dengan tujuan untuk membanteras kegiatan mengatur perlawanan mula menarik perhatian para pemain.

Terdahulu, BWF pernah menyingkirkan empat pasangan beregu wanita pada Sukan Olimpik 2012 di London iaitu satu dari China dan Indonesia serta dua dari Korea Selatan setelah didakwa terlibat dengan skandal mengatur perlawanan untuk mendapat laluan yang lebih mudah pada temasya sukan tersebut.

Kosmo! pada Selasa lalu turut melaporkan mengenai saranan Timbalan Presiden BAM, Datuk Mohamad Norza Zakaria yang mahu mencadangkan agar polisi yang sama turut diperkenalkan supaya skandal mengatur perlawanan di negara ini dapat bendung lebih awal

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment