Wednesday, October 15, 2014

‘Lantik muka baru saja’



 "Lantik orang luar kendalikan jawatankuasa sementara Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sekiranya digantung."

Itu saranan bekas Setiausaha Agung PKBM Shaharudin Jaffar yang melihat tiada keperluan melantik semula mana-mana individu yang kini memegang jawatan dan berkepentingan dalam badan induk berkenaan ketika ini.

"Saya tidak kisah sekiranya PKBM digantung atau sebaliknya, terpulang kepada kebijaksanaan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk membuat keputusan. Namun sekiranya digantung dan terdapat keperluan untuk wujudkan jawatankuasa sementara bagi meneruskan aktiviti seharian sukan berkenaan, saya mengharapkan 'muka baru' sepenuhnya diberikan kepercayaan.

"Sukan berbasikal mempunyai ramai individu yang berkebolehan serta boleh diketengahkan dengan ahli jawatankuasa boleh dilantik dalam kalangan orang lama yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang masing-masing seperti pengurusan, teknikal dan perancangan sukan.

"Kepakaran yang dimiliki Rosman Alwi, M Kumaresan serta Datuk Wira Mazlan Ahmad boleh digunakan bagi menggerakkan jawatankuasa sementara ini bagi memastikan sukan berbasikal kembali pada landasan yang tepat. Malah saya sendiri sudi untuk kembali memberi sumbangan sekiranya diperlukan," katanya.

Khairy dilapor berkata, keputusan penting berkenaan akan diumumkan Jumaat ini bagi membuat penelitian terhadap beberapa perkara.

PKBM berdepan penggantungan susulan audit kewangan yang dijalankan terhadap peruntukan yang disalurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sejak 2011 hingga tahun lalu yang didapati berlakunya beberapa kesalahan serius.

"Namun sekiranya tidak gantung dengan erti kata lain, hanya diberikan amaran, PKBM perlu kembali bergerak dengan teratur kerana kerajaan menerusi Bajet 2015 baru-baru memperuntukkan RM103 juta kepada pembangunan sukan dengan berbasikal adalah salah satu daripada enam sukan yang terpilih untuk dilonjakkan mutu ke peringkat lebih tinggi," katanya.



azlanmz@hmetro.com.my

Arena -  Harian Metro

No comments:

Post a Comment