Thursday, October 16, 2014

Nazmizan sokong Wan Hisham Presiden KOM



Bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad menyokong sepenuhnya cadangan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Zainal Abidin Ahmad memberi laluan kepada Timbalannya, Datuk Wan Hisham Wan Salleh untuk menjawat jawatan itu.

Sambil menganggap Wan Hisham pengganti paling relevan buat masa ini, Nazmizan yang pernah menghadiahkan dua pingat emas pada temasya Sukan SEA Vietnam 2003 menerusi acara riben biru 100 dan 200 meter, percaya sifat kepimpinan dimiliki Wan Hisham mampu membawa perubahan besar kepada corak pentadbiran badan induk itu demi mengembalikan maruah sukan itu di peringkat antarabangsa.

"Bagi saya Wan Hisham mempunyai kelebihan dan idea tersendiri untuk membantu sukan olahraga ke tahap lebih baik daripada sekarang.

"Biarpun dalam tempoh dua tahun tidak banyak kemajuan dan keputusan memberangsangkan kita peroleh, saya yakin dengan perancangan jangka panjang KOM di bawah kepimpinan Datuk Zainal mampu diteruskan beliau (Wan Hisham) pula.

"Landasan sudah dibina, saya harapkan beliau teruskan usaha yang sudah dirancang supaya kita dapat melahirkan atlet berwibawa pada masa akan datang," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, Zainal secara sukarela mengundurkan dirinya daripada mempertahankan jawatan disandang sejak September 2012 selepas mendapat undian tertinggi iaitu 23 undi pada pemilihan pucuk kepimpinan KOM untuk penggal 2012/2014 lalu.

Memberikan alasan faktor usia dan mahu menghabiskan masa bersama keluarga, Zainal berkata, beliau memilih timbalannya itu kerana Wan Hisham lebih memahami selok-belok pengurusan KOM sejak ia bertukar pucuk kepimpinan, dua tahun lalu.

Namun, bekas atlet kelahiran Terengganu itu mahukan presiden baru yang akan dilantik dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 1 November supaya sentiasa menjaga kebajikan bekas atlet biarpun pucuk kepimpinan sering bertukar.

"Saya ingin melihat teraju baru KOM kali ini lebih proaktif menjaga kebijakan kami, bekas atlet. Janganlah hanya duduk di atas saja dan melupakan kami yang sudah bersara daripada arena olahraga.

"Bekas atlet boleh menyumbang kepada pembangunan olahraga terutama aspek nasihat dan mencungkil bakat baru. Saya harap benar adanya perubahan secara keseluruhan dalam KOM kali ini," katanya


Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment