Thursday, October 30, 2014

Malaysia Muncul Juara Kejohanan Bola Sepak Pantai AFF

KUANTAN, 29 Okt (Bernama) -- Malaysia berjaya mencipta sejarah muncul pasukan pertama menjuarai Kejohanan Bola Sepak Pantai Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) selepas menundukkan Vietnam 6-4 pada perlawanan akhir di Pantai Teluk Chempedak di sini, Rabu.

Dalam perlawanan itu, pasukan kebangsaan mula mencuri tumpuan menerusi jaringan ketua pasukan Mohd Zaharim Mohd Yusof yang meledakkan dua gol pada suku pertama minit kedua dan kelapan.

Berbekalkan semangat tinggi, Malaysia terus menguasai perlawanan dengan menambah jaringan pada minit pertama suku kedua oleh Mohammad Fakhrullah Mohamad untuk Malaysia mendahului 3-0.

Vietnam kemudian cuba merapatkan jurang menerusi Bui Tran Van Luan pada minit kelapan suku kedua sebelum Malaysia kembali bangkit menerusi jaringan hatrik Mohd Zaharim dua minit kemudian bagi kedudukan 4-1.

Jaringan kelima Malaysia kemudian berjaya diperolehi Mohamad Norazman A. Bakar pada minit ke-11 suku kedua sebelum Vietnam membalas jaringan pantas juga pada minit ke-11 oleh Tran Vinh Phong bagi kedudukan 5-2.

Kegigihan pemain Vietnam, Bui Tran Van cuba membantu pasukannya dengan muncul penjaring hatrik selepas meledakkan dua gol pada suku ketiga minit pertama dan keenam.

Namun, pasukan kebangsaan berjaya menyempurnakan jaringan penamat oleh Mohd Riduwan Mohd Nor pada minit ketujuh suku ketiga perlawanan bagi mengesahkan kedudukan muktamad.

Bagi perlawanan penentuan tempat ketiga, Thailand berjaya menundukkan Laos 4-1.

Sementara itu, Kejohanan Bola Sepak Pantai AFF yang berlangsung buat pertama kali itu mungkin akan diteruskan sebagai acara dwitahunan.

Setiausaha Kehormat AFF, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, penganjuran buat pertama kali itu telah mendapat sambutan yang mengalakkan.

"Tanggapan saya walaupun ini yang pertama dan bersejarah pada AFF kita dapat sambutan yang amat baik daripada peminat bola sepak pantai.

"Apa yang menggembirakan pada mulanya kita hanya menerima enam penyertaan pasukan namun pada hari penutup pendaftaran kita menerima permohonan dua lagi penyertaan daripada 12 keahlian AFF," katanya.

Bbeliau yakin untuk tahun mendatang akan banyak lagi pasukan dalam anggota Asean yang akan mengambil bahagian pada siri kejohanan itu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Felda akan terus menaja kejohanan itu pada edisi 2016.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment