Monday, October 20, 2014

Malaysia di tempat kelima


MALAYSIA mengakhiri kemarau kemenangan pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2014 dengan menewaskan Pakistan 3-1 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru semalam.

Kemenangan itu menyaksikan skuad hoki remaja negara berjaya meraih tempat kelima, sekali gus mengelak daripada menamatkan kempen di tangga tercorot.

Ketua jurulatih Malaysia, Arul Selvaraj berbangga terhadap kesungguhan yang dipamerkan anak-anak buahnya untuk meraih kemenangan bermaruah tersebut.

“Saya tak buat apa-apa. Saya beritahu para pemain, mereka perlu berusaha dan mencari jalan untuk menang hari ini (semalam).

“Kemenangan ini hasil usaha mereka sendiri dan mereka telah buktikan dengan kemenangan ke atas Pakistan.

“Secara keseluruhannya, saya berbangga dengan semangat melawan tinggi yang mereka pamerkan sepanjang kejohanan ini.

“Para pemain membuktikan karakter mereka, cuma kesilapan kecil yang menghukum kami,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.

Pada aksi penentuan tempat kelima dan keenam itu, Malaysia seperti terjaga daripada tidur apabila garang mengasak kubu Pakistan sebaik permainan bermula.

Hasilnya, pasukan yang dikenali sebagai Skuad Projek 2016 itu mendapat gol seawal minit keenam menerusi jaringan padang kapten, Muhd. Haziq Samsul.

Usaha mereka tidak terhenti di situ apabila Muhd. Najmi Farizal Jazlan berjaya menggandakan kedudukan buat tuan rumah melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-24.

Pakar flick negara, Muhamma Shahril Saabah berjaya menjaringkan gol ketiga Malaysia juga melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-32.

Biarpun Pakistan berjaya meledak satu gol menerusi Muhammad Naveed pada minit ke-45, namun ia sudah terlewat apabila kedudukan 3-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan.



KOSMO

No comments:

Post a Comment