Tuesday, October 28, 2014

Kurang Dana Sebab Banyak Negeri Tidak Sertai Liga Hoki Malaysia

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Kekurangan dana menjadi faktor persatuan hoki negeri tidak menghantar pasukan masing-masing untuk menyertai Liga Hoki Malaysia TNB (TNBMHL) tahun ini.

Edisi Liga Hoki Malaysia kali ini hanya disertai enam pasukan dan daripada jumlah itu, hanya Terengganu menjadi pasukan negeri tunggal yang menyertainya.

Selain Terengganu, pasukan lain yang terlibat ialah Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Maybank, Sapura, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

"Saya akui dengan hanya enam pasukan yang mengambil bahagian, kejohanan tidak menjadi meriah.

"Pihak MHC (Konfederasi Hoki Malaysia) juga sedang memikirkan cara bagaimana untuk kita menyalurkan dana kepada persatuan negeri. MHC juga akan mencari dana tambahan daripada syarikat swasta," kata Naib Presiden MHC Datuk Nur Azmi Ahmad selepas majlis pelancaran kejohanan dan laman web TNBMHL di sini, Isnin.

Menurut Nur Azmi, kos sesebuah pasukan premier dalam Liga Hoki Malaysia adalah tinggi memandangkan setiap pasukan mempunyai pemain import untuk memperkuatkan pasukan masing-masing.

"Saya rasa selepas ini berkemungkinan pihak MHC akan pergi ke setiap negeri dan berjumpa dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk membincangkan cara bagaimana mereka boleh membantu persatuan hoki negeri," katanya.

Edisi 2014 Liga Hoki Malaysia akan membuka tirainya pada Rabu dengan perlawanan Piala Sumbangsih antara KLHC dan TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment