Thursday, October 30, 2014

KLHC Raih Piala Sumbangsih Liga Hoki Malaysia 2014

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) memenangi trofi Piala Sumbangsih pada Liga Hoki Malaysia TNB 2014 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini.

Pada perlawanan itu, KLHC menewaskan pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 5-3, sekali gus meraih tiga mata penuh bagi liga yang membuka tirainya pada Rabu.

TNB terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit kesembilan menerusi jaringan padang oleh Mohd Ramadan Rosli sebelum KLHC menyamakan kedudukan pada minit ke-19 menerusi pukulan sudut penalti oleh kapten pasukan, Muhammad Razie Abd Rahim.

KLHC menambah gol kedua menerusi Rahim Baharom pada minit ke-26 dan dua minit kemudian TNB menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Muhamad Amin Rahim.

Muhammad Razie sekali lagi cemerlang menyempurnakan pukulan penalti buat KLHC pada minit ke-29 namun selang tiga minit kemudian, TNB segera menyamai kedudukan 3-3 menerusi gol padang oleh Muhammad Azammi Adabi.

KLHC terus mempamerkan perlawanan agresif dengan Muhammad Imran meletakkan pasukan di hadapan menerusi gol keempat pada minit ke-42 sebelum Muhammad Razie mengesahkan kemenangan KLHC menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-57.

Ketua jurulatih KLHC, Muhammad Dharma Raj mengakui perlawanan pembukaan itu sedikit sukar kerana tidak mengetahui kekuatan sebenar pasukan lawan namun beliau memuji corak permainan yang dipamerkan pemainnya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment