Wednesday, October 15, 2014

Khairy nafi wujud bookie badminton



"Tiada bukti sindiket bookie antarabangsa badminton aktif di negara ini," tegas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata, sehubungan itu pihaknya sudah mengambil langkah perlu untuk menyekat kegiatan bookie yang mengatur perlawanan badminton di peringkat antarabangsa daripada merebak ke Malaysia.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan wujud sindiket didalangi rakyat negara ini.
"Saya sudah maklumkan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) supaya melaporkan segera jika ada mana-mana pemain didatangi sindiket bookie yang mengatur perlawanan kerana tidak mahu kes ini merebak," katanya.

Beliau mengulas dakwaan kononnya rakyat Malaysia terbabit dalam sindiket mengatur perlawanan pada Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Jepun Jun lalu.

Menurut laporan laman web Badzine (www.badzine.net), pemain perseorangan Denmark Hans Kristian Vittinghus dan Kim Astrup (beregu) cuba disogok sebanyak £2,500 pound (RM13,125) hingga £3,000 (RM15,750) untuk mengatur perlawanan sendiri.

   Sementara itu Khairy sudah mengarahkan BAM memberikan maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya siasatan dijalankan.

Beliau juga meminta persatuan badminton itu mendapatkan maklumat tambahan daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berhubung kes terbabit.


Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment