Thursday, October 16, 2014

Jurang besar gaji jadi isu

KUALA LUMPUR - Ketika kebanyakan jurulatih kebangsaan akan tamat kontrak pada hujung tahun ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bakal berdepan kemelut baharu apabila jurang gaji yang terlalu besar di antara jurulatih tempatan dan luar negara menjadi isu utama yang dibangkitkan.

Tindakan badan badminton kebangsaan itu yang dikatakan menawarkan gaji lumayan melebihi AS$20,000 (RM65,500) sebulan kepada jurulatih dari China, He Guoquan walaupun dia tidak memiliki rekod pencapaian di peringkat antarabangsa telah menimbulkan rasa kurang senang ramai jurulatih tempatan.

Guoquan yang sudahpun berada di Kuala Lumpur, malah turut menyaksikan kejohanan Terbuka Perak, minggu lalu 'memikat' BAM hanya kerana sejarahnya pernah membimbing pemenang pingat emas Sukan Olimpik dan juara dunia lima kali, Lin Dan di peringkat remaja.

Dia juga pernah melatih pemain wanita No. 1 dunia, Li Xuerui.

Bagaimanapun Guoquan tidak pernah membuktikan kemampuannya melatih di peringkat tertinggi, sebaliknya menghabiskan kebanyakan karier kejurulatihannya membimbing pemain peringkat umur 13-14 tahun.

Kesanggupan BAM membayar gaji besar untuk seorang jurulatih yang belum membuktikan kemampuan menimbulkan rasa tidak gembira dalam kalangan jurulatih tempatan, apatah lagi kebanyakan pencapaian yang diraih Malaysia sejak beberapa tahun ini adalah menerusi pemain yang dibimbing mereka.

Hampir semua jurulatih utama negara akan tamat kontrak pada hujung tahun ini, diketuai Rashid Sidek, Tey Seu Bock, Rosman Razak, Pang Cheh Chang, Jeremy Gan dan Wong Tat Meng, manakala kontrak Wong Pei Tty telah tamat Ogos lalu, namun belum diperbaharui.

"Ramai jurulatih tempatan merasakan mereka seperti dianak tirikan. Kami faham jika BAM perlu membayar gaji yang tinggi untuk memikat jurulatih luar datang ke Malaysia, tetapi jurang yang wujud terlalu besar, sampai tidak masuk akal.

"Beritahu kami, apakah tanggungjawab yang perlu digalas jurulatih tempatan lebih kecil dibandingkan jurulatih asing?.

"Kalau mereka (BAM) bercakap tentang pencapaian kami yang tidak seberapa sebagai alasan, apakah jurulatih luar ini mempunyai pencapaian terlalu bagus hingga perbezaan gaji mereka berkali ganda daripada kami," kata seorang jurulatih yang enggan namanya didedahkan.

Walaupun pencapaian yang dicatat badminton Malaysia ketika ini dianggap tidak seberapa, namun semua kejayaan yang diraih itu adalah hasil 'kerja' jurulatih tempatan.

Rosman telah membawa Vivian Hoo-Woon Khe Wei muncul beregu wanita Malaysia pertama meraih pingat Sukan Asia selepas 44 tahun dengan meraih gangsa di Incheon, bulan lalu.

Pasangan itu juga memenangi pingat emas Sukan Komanwel di Glasgow, selain muncul juara Sukan SEA Myanmar, tahun lalu.

Seu Bock pula telah meraih pelbagai gelaran bersama Chong Wei sepanjang empat tahun membimbing bintang No.1 dunia itu, termasuk kejuaraan All England.

Jurulatih beregu lelaki, Cheh Chang juga berjaya membimbing Goh V Shem-Lim Khim Wah muncul juara Siri Super Premier Terbuka Malaysia.

Gandingan V Shem-Tan Wee Kiong turut cemerlang meraih pingat emas Sukan Komanwel serta gangsa Sukan Asia Incheon.

Difahamkan, BAM turut menawarkan kontrak kepada seorang lagi jurulatih dari China iaitu Zhou Yang yang dikatakan bakal menjadi jurulatih di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Pemilihan Zhou Yang juga menimbulkan tanda tanya kerana jurulatih itu sebelum ini pernah menjadi jurulatih Persatuan Badminton Pahang, tetapi kontraknya tidak disambung kerana beberapa isu yang tidak diketahui.

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
sukan@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment