Friday, October 17, 2014

ISN, UniMAP Jalin Kerjasama Penyelidikan Sukan


KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan menjalankan kajian mengenai teknologi sukan untuk membantu meningkatkan prestasi atlet negara.

Kajian itu akan dijalankan bersama pensyarah dan penyelidik Program Kejuteraan Elektronik Bioperubatan, Pusat Pengajian Kejuteraan Mekatronik UniMAP dan Institut Sukan Negara (ISN).

Naib Canselor UniMAP, Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata acara berbasikal merupakan antara projek kajian yang dijalankan dengan memberi tumpuan kepada reka bentuk basikal.

Selain itu, pemantauan output fisiologi seperti kadar jantung, suhu dan tekanan darah pelumba semasa latihan turut dikaji.

"Ia diperlukan untuk jurulatih memahami setiap keupayaan badan pelumba dan bagaimana ia boleh digunakan untuk memaksimumkan prestasi," katanya kepada pemberita selepas mewakili UniMAP pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan ISN di sini hari ini.

ISN diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz.

Kamarudin berkata selain itu, antara kajian yang bakal dilakukan ialah bagi acara menembak termasuk parameter berat badan atlet, postur dan output Elektromiogram (EMG) bagi mengesan aktiviti elektrik otot.

Katanya, UniMAP turut menjalankan kajian bagi postur dan teknik yang digunakan oleh atlet dalam beberapa acara seperti lompat kijang, hoki, taekwondo dan karate.

Sementara itu, Dr Ramlan berkata jalinan kerjasama itu membuka peluang dan memberi faedah dalam usaha merealisasikan bidang sains sukan dan teknologi sukan di negara ini.

"Kepakaran dalam bidang kejuruteraan dan teknologi di UniMAP adalah sesuatu yang kita iktiraf dan kita amat bertuah kerana dapat berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka dalam bidang sukan.

"Penyelidikan dan amalan daripada kerjasama ini dapat membantu melonjakkan prestasi atlet ke tahap yang diharapkan," katanya.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment