Wednesday, October 15, 2014

Dipecat jika terlibat - Norza

"Jangan terlibat atau berdepan risiko dipecat."

Itu amaran keras yang dilontarkan Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Mohamad Norza Zakaria kepada semua pemain, jurulatih serta kakitangan yang berada di dalam badan induk sukan badminton tanah air itu.

Katanya, amaran itu dibuat bagi memastikan semua pemain, jurulatih serta kakitangan di dalam BAM bebas daripada sebarang gejala mengatur perlawanan yang dilihat akan merosakkan sukan itu.
Beliau memberitahu, ia juga merupakan sebahagian daripada pendekatan yang dilihat mampu menjadikan persatuan itu lebih berhati-hati supaya skandal mengatur perlawanan ditangani lebih awal dan tidak menular di Malaysia.

"Ada dua tindakan akan diambil terhadap mana-mana individu di dalam BAM yang terlibat dengan gejala mengatur perlawanan, yang pertama mereka akan dipecat dan yang kedua mereka akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Sukan badminton dikejutkan apabila terdapat dakwaan bahawa rakyat Malaysia terlibat dalam skandal mengatur perlawanan ketika Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Jepun Jun lalu.
Menurut laporan laman web Badzine (www.badzine.net) kelmarin, pemain perseorangan Denmark, Hans Kristian Vittinghus dan Kim Astrup (beregu) cuba diberikan sogokan sebanyak 2,500 pound (RM13,125) hingga 3,000 pound (RM15,750) untuk mengatur keputusan perlawanan sendiri.

Bagaimanapun, kedua-dua pemain itu menolak pelawaan tersebut sebelum melaporkannya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan difahamkan badan dunia itu telah membuat laporan kepada polis Denmark.

Mohamad Norza memberitahu, pihaknya akan menghubungi BWF dalam tempoh terdekat ini bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung isu yang berlaku itu selain bersedia untuk memberikan kerjasama sekiranya diperlukan.

Katanya, buat masa ini BAM mampu menarik nafas lega kerana tidak ada mana-mana individu di dalam badan induk itu terlibat dengan gejala tidak bermoral itu.

"Dalam mesyuarat BAM akan datang, saya akan mencadangkan agar polisi untuk melindungi pemberi maklumat terus diperkasakan bagi memastikan identiti mereka dilindungi sepenuhnya," katanya.

Oleh NOR AZAN FITRI
AHMAD HIDZIR
sukan@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment