Wednesday, October 15, 2014

Bukan perkara baru





Bukan perkara baru dan tidak mengejutkan, itulah pendapat jurulatih berpengalaman dan bekas pemain negara selepas ditanya mengenai gejala mengatur perlawanan dalam kalangan pemain badminton dunia.

Menurutnya, sesuatu yang mustahil jika seseorang pemain itu tidak melakukan perkara seperti itu tidak kira pemain ternama ataupun berada dalam ranking bawahan.

"Bagaimanapun, perkara ini sangat sensitif dan saya mengakui yang membabitkan pemain perseorangan dan beregu lelaki," kata jurulatih itu yang enggan dikenali itu.
Jelasnya, jika gejala itu sudah bermula sejak dari peringkat remaja lagi, memang susah untuk ditinggalkan apabila tiba di peringkat senior.

"Dalam zaman yang serba canggih sekarang, memang mudah untuk pemain terbabit dengan perkara seperti ini," kata jurulatih yang memiliki pengalaman di peringkat antarabangsa itu.

Ahad lalu, Presiden Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) Paul Erik Hoyer mendedahkan mereka sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa berikutan aduan daripada dua pemain Denmark yang mereka cuba disogok untuk menjual perlawanan.

Laman web badzine.net mendedahkan Hans Kristian Vittinghus dan Kim Astrup didekati pihak ketiga dari Malaysia dan ditawarkan £2,500 (RM13,118) hingga £3,000 (RM15,742) ketika Terbuka Jepun tahun ini untuk bertaruh dengan mengubah keputusan perlawanan mereka sendiri.

BWF mengakui mereka berpuas hati dengan tindakan pemain berkenaan yang menolak sogokan itu.
Mereka menyatakan kes itu termaktub dalam Sistem Whistle Blower yang baru saja ditubuhkan BWF untuk menangani kejadian seperti itu.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Norza Zakaria kelmarin menyatakan mereka juga akan menggunakan Sistem Whistle Blower bagi melindungi pemberi maklumat.


Arena - Harian Metro



No comments:

Post a Comment