Wednesday, October 15, 2014

Bujang Taha Patut Dapat Pengiktirafan Kerajaan, Kata Dua Menteri Muda

KUCHING, 14 Okt (Bernama) -- Nasib legenda bina badan Sarawak Bujang Taha, yang meninggal dunia pada Ahad, dijangka dibincang pada sidang dewan undangan negeri tidak lama lagi.

Berikutan pemergian beliau, beberapa individu menyentuh tentang nasib dan kesusahan yang pernah dialami atlet itu.

Menteri Muda Pembangunan Belia Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata mereka akan membawa perkara itu kepada kerajaan negeri serta meminta agar bantuan sewajarnya diberi kepada keluarga Bujang.

Pemenang gelaran Mr Asia dua kali itu meninggal dunia pada usia 77 tahun di Hospital Umum Sarawak (SGH) pada 10.47 malam Ahad kerana asma teruk dan komplikasi akibat kanser mulut dan paru-paru.

Beliau dimasukkan ke wad SGH kira-kira seminggu sebelum itu, kata menantunya Suzana Ibrahim.

Abdul Karim berkata Kabinet negeri akan membincangkan bantuan yang perlu diberi kepada keluarga Bujang, yang disifatkan sebagai ahli sukan hebat, yang mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia.

Daud pula berkata beliau akan berbincang dengan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem untuk menimbang pemberian elaun bulanan kepada keluarga Bujang.

"Pemergiannya suatu kehilangan besar kepada negeri dan negara serta belum ada ahli atlet bina badan dari Sarawak yang sehebat beliau," katanya.

Beliau berkata ketika hayatnya, Bujang tidak pernah meminta suatu apapun daripada kerajaan, walaupun beliau mencurahkan sumbangan besar kepada sukan, negeri dan negara.

Sementara itu, jaguh bina badan negara Datuk Malek Noor, pemenang gelaran Mr Asia enam kali, menggesa Sarawak dan negara memberi pengiktirafan atas sumbangan serta pengorbanan yang dicurahkan legenda bina Badan Sarawak itu.

Malek, yang mewakili Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), adalah antara lebih 100 orang yang memberi penghormatan terakhir kepada Bujang.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment