Thursday, October 30, 2014

Bojan Dakwa Padang Stadium Bukit Jalil Teruk


JOHOR BAHARU, 29 Okt (Bernama) -- Jurulatih pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Bojan Hodak melahirkan rasa kecewa dengan keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil menjelang pertemuan akhir Piala Malaysia menentang Pahang Sabtu ini.

Beliau mendakwa keadaan padang di stadium terbabit agak teruk dan ia boleh menjejaskan corak permainan anak buahnya dalam usaha meraih kejuaraan berganda musim ini.

"Berdasarkan gambar dan maklumat yang saya terima, keadaan padang amat teruk. Kami telah melakukan persiapan dengan baik tetapi keadaan padang yang teruk amat mengecewakan. Namun, kami tidak boleh buat apa-apa tentang perkara ini," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad Harimau Selatan di Padang Sri Gelam, di sini, Rabu.

Beliau berkata pihak pengurusan stadium sepatutnya lebih peka dan tidak membenarkan acara-acara lain diadakan di padang terbabit yang boleh menjejaskan keadaan padang di stadium berkenaan.

Dalam pada itu, Bojan yakin skuad juara Liga Super itu berada pada prestasi terbaik untuk muncul juara meskipun tanpa khidmat kapten pasukan, Mohd Aidil Zafuan yang digantung perlawanan.

"Rayuan Aidil untuk membatalkan kad kuning pada aksi separuh akhir lalu ditolak dan saya sudah menjangkakan hal ini.

"Namun, kami masih mempunyai beberapa pemain yang boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan Aidil. Kami mempunyai keyakinan untuk menang Sabtu ini," katanya.

JDT mara ke final selepas menewaskan Felda United dengan agregat 6-5 pada aksi separuh akhir, Sabtu lalu.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment