Monday, August 25, 2014

Zarif pelengkap sasaran pingat

Nanjing, China: Pemanah pelapis negara, Muhamad Zarif Syahiir Zolkifli berjaya melengkapkan sasaran tiga pingat di temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) selepas meraih pingat perak acara recurve campuran antarabangsa di Lapangan Memanah Fangshan, semalam.
Pada aksi final, Muhamad Zarif dengan gandingan Cynthia Freywald dari Jerman tewas 0-6 kepada pasangan emas Luis Gabriel (Filipina)-Li Jiaman (China).

Pingat gangsa acara itu menjadi milik gandingan Peters Eric (Kanada)-Tuokkola Mirjam (Finland) selepas mereka mengalahkan gandingan Martens Rick (Belgium)/Regina Romero (Guatemala) dengan mata 6-2.

Muhamad Zarif, 16, berkata, dia bangga dan gembira dengan kejayaan itu kerana menjadi antara penyumbang pingat untuk negara.

“Pada awalnya saya tidak jangka dapat menang pingat kerana tidak berani meletakkan sebarang sasaran pingat di YOG 2014.

“Saya tidak berasa tertekan bila beraksi di final kerana pingat sudah pasti akan menjadi milik Malaysia,” katanya.
Walaupun Majlis Sukan Negara (MSN) mahupun Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak menetapkan sebarang sasaran pingat, namun ketua kontinjen Wong Pei Tty optimis atlet negara mampu membawa pulang sekurang-kurangnya tiga pingat.

Pingat emas pertama negara sebelum ini disumbang pemain badminton, Cheam June Wei dalam acara beregu campuran antarabangsa manakala pingat perak oleh penerjun wanita Loh Zhiayi dalam acara 10m platform individu.


- BERNAMA

No comments:

Post a Comment