Tuesday, August 26, 2014

YOG 2014: Loh Seakan Tidak Percaya Berjaya Raih Satu Lagi Pingat


NANJING, 25 Ogos (Bernama) -- Atlet terjun remaja negara, Loh Zhiayi seakan tidak percaya apabila berjaya menyumbang sebutir lagi pingat kepada kontinjen negara pada Temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014).

Loh meraih pingat gangsa dalam acara 3m papan anjal individu wanita yang berlangsung di Nanjing Olimpic Sport Centre Natatorium dekat sini hari ini.

Atlet itu mengumpul 446.70 mata dengan perbezaan 12.4 mata di belakang pemenang pingat perak, Krasnoshlyk Ganna dari Ukraine dengan 459.10 mata.

Pingat emas menjadi milik penerjun China, Wu Shengping dengan catatan 492.05 mata untuk mengatasi 11 penerjun lain.

Pada Sabtu, Loh menyumbang pingat perak apabila berjaya mengungguli acara 10m platform individu wanita.

"Semua penerjun lain bermula dengan lebih baik, namun mereka mula banyak melakukan kesilapan pada pusingan akhir dan membuka peluang untuk saya membaiki kedudukan.

"Saya rebut dan guna sebaik mungkin peluang tersebut sehingga berjaya meletakkan diri di tempat ketiga terbaik," katanya kepada Bernama.

Loh berkata beliau tidak pernah terfikir untuk meraih pingat kedua peribadinya hari ini, namun berasa gembira kerana dapat menyumbang sesuatu kepada negara.

Penerjun berusia 16 tahun itu berkata beliau tidak berani untuk meletakkan sebarang sasaran pingat untuk acara berpasukan antarabangsa pada Rabu ini.

"Saya tidak boleh cakap lagi...sebab tidak tahu akan berganding dengan penerjun dari negara mana, kalau digandingkan dengan penerjun dari negara hebat maka peluang untuk meraih pingat adalah lebih cerah," katanya.

Loh berkata beliau sangat gembira dengan kejayaan hari ini dan berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kerana memberi peluang kepadanya untuk beraksi pada YOG 2014 walaupun pada awalnya gagal melepasi kelayakan ke temasya sukan remaja terbesar dunia itu.

Beliau layak ke YOG 2014 selepas memperoleh kedudukan ke-10 terbaik pada Kejohanan Kelayakan YOG di Mexico Mac lalu.

Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid
  -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment