Tuesday, August 26, 2014

Vivian, Khe Wei mara ke pusingan kedua


Kuala Lumpur: Pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014 Glasgow, Vivian Hoo-Woon Khe Wei tidak mempunyai masalah mara ke pusingan kedua Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen apabila menumpaskan pasangan Republik Czech Sarka Krizkova-Katerina Tomalova semalam.

Anak didik Rosman Razak itu hanya mengambil masa 27 minit untuk mencatat kemenangan straight set, 21-11, 21-12 dalam perlawanan berlangsung di Ballerup Super Arena.

Menurut Vivian, lawan mereka yang menduduki ranking ke-100 dunia tidak terlalu sukar untuk dikalahkan.

“Bagi saya aksi kami sederhana saja dan ia lebih kepada menyesuaikan diri dengan gelanggang,” kata pemain berusia 24 tahun itu.

FotoVIVIAN (kanan) dan Khe Wei bakal menentang pasangan Denmark di pusingan kedua.

Jelasnya, mereka mampu beraksi dengan lebih baik terutama menjelang perlawanan pusingan kedua menentang pilihan ke-15 dari Denmark, Line Damk jaer Kruse-Marie Roepke.

“Saya rasa pertemuan dengan pasangan Denmark akan lebih sukar, malah kami belum pernah bertemu mereka sebelum ini.

“Saya menjangkakan peluang kami untuk mara ke pusingan ketiga 50-50,” katanya yang pernah meraih emas di Sukan SEA 2013 Myanmar dalam acara beregu wanita, juga ketika bergandingan dengan Khe Wei.

Turut mara ke pusingan kedua beregu campuran tunggal, Tan Aik Quan-Lai Pei Jing yang menjinakkan gandingan Hong Kong Chan Yun Lung-Tse Ying Suet 21-14, 21-17.

Bagaimanapun, tugas berat menanti pasangan ke-85 dunia itu hari ini apabila bertemu pilihan keempat kejohanan dari England, Chris Adcock-Gabrielle Adcock.

Pemain perseorangan wanita negara, Tee Jing Yi juga melepasi halangan awal selepas menumpaskan wakil New Zealand, Michelle Chan Ky 21-14, 21-19.

Menantinya di pusingan kedua pilihan kesembilan dari Sepanyol, Carolina Marin yang mendapat bye


Oleh Ferzalfie Fauzi, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment