Tuesday, August 19, 2014

Skuasy: Mohd Azlan Mara Dengan Bergaya

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Bekas pemain nombor 10 dunia, Mohd Azlan Iskandar membuktikan bahawa usia tidak menghalang beliau daripada menampilkan persembahan bertenaga di kejohanan skuasy peringkat antarabangsa.

Pada pusingan kelayakan Kejohanan Terbuka Malaysia 2014, pemain berusia 32 tahun itu melepasi pusingan pertama apabila menewaskan pemain Kuwait, Ammar Altamimi dalam straight set 11-4, 11-6 dan 11-1.

Pada saingan di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil di sini pada Isnin, Mohd Azlan hanya mengambil masa 22 minit untuk menyingkirkan Ammar, sekali gus melangkah ke pusingan kedua peringkat kelayakan esok.

Beliau akan menentang pemain Afrika Selatan, Shaun Le Roux untuk memburu tempat pada undian utama kejohanan tersebut.

"Perlawanan ini memang sengit. Bagaimanapun, saya teruja untuk kembali semula dan tidak sabar untuk perlawanan seterusnya," kata pemain dari Sarawak itu, yang akan beraksi pada Sukan Asia ke-17 di Incheon, Korea Selatan, bulan depan.

Selain Mohd Azlan, dua lagi pemain negara - valentino Bon Jovi Bong dan Adden Idrakie - turut mara ke pusingan kedua.

Valentino mengalahkan Matthew Karwalski dari Australia 11-6, 11-7, 8-11, 6-11 dan 11-7 dalam pertarungan selama 56 minit manakala Adden mengambil masa 70 minit untuk menyingkirkan rakan senegara Elvinn Keo dengan keputusan 11-8, 11-9, 12-14, 8-11 dan 11-6.

Dalam acara wanita, enam wakil negara gagal memburu tempat di undian utama apabila tewas dalam pusingan kelayakan.

Mereka adalah Zulhijjah Azan, S. Sivasangari, Teh Min Jie, Rachel Arnold, Vanessa Raj dan Zoe Foo.

Acara wanita akan bermula esok dengan pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol David akan memulakan kempen memburu gelaran kesembilan dengan menentang pemenang pusingan kelayakan, Liu Tsz Ling dari Hong Kong.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment