Friday, August 29, 2014

Skuad Wanita Negara Akhiri Cabaran Pada Kejohanan Badminton Dunia 2014


Beregu wanita negara, Lee Meng Yean dan Lim Yin Loo


COPENHAGEN, 28 Ogos (Bernama) -- Skuad wanita negara mempamerkan aksi hambar apabila menamatkan cabaran lebih awal pada Kejohanan Badminton Dunia BWF 2014 di Ballerup Super Arena, di sini, Rabu.

Pada saingan pusingan kedua, tiada seorang pun wakil negara yang berjaya melangkah ke pusingan berikutnya selepas kalah kepada lawan masing-masing.

Beregu Lee Meng Yean dan Lim Yin Loo memulakan hari malang skuad negara selepas kalah 7-21, 15-21 kepada pilihan kelapan yang merupakan pasangan kembar, Luo Ying dan Luo Yu dari China.

Langkah longlai skuad wanita berterusan selepas perseorangan utama negara, Tee Jing Yi tewas 18-21, 21-16 dan 10-21

kepada pilihan kesembilan, Carolina Marin dari Sepanyol.

Pasangan adik beradik, Ng Hui Ern dan Ng Hui Lin pula nyata bukan tandingan bagi pilihan ke-14 dari Belanda, Eefje Muskens dan Selena Piek selepas kecundang 17-21 dan 20-22.

Dua lagi beregu wanita negara -- Amelia Alicia Anscelly dan Soong Fie Cho serta Vivian Hoo Kah Mun dan Woon Khe Wei turut tersungkur kepada lawan masing-masing.

Amelia dan Soong tewas mudah 14-21 dan 16-21 kepada pilihan keempat yang juga beregu kelapan dunia, Yu Yang dan Wang Xiaoli dari China manakala Vivian dan Hoo memberikan saingan sengit sebelum kalah kepada pilihan ke-15, yang juga pemain tuan rumah, Line Damkjaer Kruse dan Marie Roepke dengan 16-21, 21-11 dan 10-21.

Harapan Malaysia pada kejohanan ini kini disandarkan kepada jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei serta Hoon Thien How/Tan Wee Kiong dan Koo Kien Kiat/Tan Boon Heong dalam acara beregu lelaki.

Daripada Mazani Chan Yat Sin -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment