Monday, August 11, 2014

'Saya terima keputusan MHC'

DHAARMA RAJ (kanan) sedia melepaskan jawatannya selepas temasya Sukan Asia 2014
di Korea Selatan, Oktober depan.


STATUS Muhammad Dhaarma Raj Abdullah sebagai ketua jurulatih skuad hoki senior negara akan terjawab hari ini. Difahamkan, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) akan mengadakan mesyuarat melibatkan Ahli Majlis badan induk hoki negara itu di Kuala Lumpur.

Sambil mengesahkan mesyuarat tersebut, Dhaarma Raj berkata, beliau tidak gusar dan menerima keputusan yang akan diputuskan MHC mengenai masa depannya.

Beliau berharap keputusan dalam mesyuarat itu nanti sedikit sebanyak dapat menjernihkan suasana yang bergolak dalam kem hoki negara yang mana disifatkannya seperti sudah tidak dapat dikawal ketika ini.

“MHC akan mengadakan mesyuarat dan akan mengumumkan keputusan itu (status sebagai ketua jurulatih skuad senior negara) esok (hari ini).

“Saya dengar saya berkemungkinan tidak akan dipecat tetapi direhatkan dan (tempat saya) akan diambil alih oleh orang lain buat sementara waktu.

“Bagi saya, ia perkara bagus untuk menenangkan keadaan yang sudah kucar- kacir dengan semangat dan mental sudah jatuh ketika ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sebelum ini, ramai pemerhati sukan hoki tanah air mempersoalkan kewibawaan Dhaarma Raj sebagai pengendali skuad negara ekoran prestasi mengecewakan pada kempen Piala Dunia di The Hague, Belanda, Mei lalu.

Sebagai rekod, skuad negara gagal memungut sebarang mata apabila tewas kesemua perlawanan, sekali gus menghuni tangga tercorot iaitu tempat ke-12 pada kejohanan tersebut.

Lebih menghangatkan keadaan apabila Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan MHC, Manjit Majid Abdullah menggesa supaya Dhaar- ma Raj dipecat serta-merta gara-gara kekalahan mengejut kepada Trinidad & Tobago pada temasya Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland baru-baru ini.

Tanpa mahu memanjangkan polemik tersebut, Dhaarma Raj mendedahkan, beliau akan melepaskan jawatannya Oktober depan selepas berakhirnya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan.

“Sejak awal lagi, matlamat saya ialah Sukan Asia. Jadi, kalau boleh saya mahu menamatkan tanggungjawab terakhir saya itu.

“Terlalu banyak desakan (dipecat) daripada pihak luar terhadap saya. Saya sudah tidak tahan dengan situasi yang berlaku ketika ini.

“Kalau diteruskan, saya susah nak buat kerja. Biarlah muka baharu yang datang dapat meringankan situasi buat sementara waktu,” jelasnya.

Ketika ini, nama pengendali skuad remaja negara, Arul Selvaraj disebut-sebut sebagai calon bagi menggantikan Dhaarma Raj.


Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
zuhaily.badlishah@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment