Wednesday, August 13, 2014

Sasaran Skuad Harimau Malaya Ke Final Piala AFF Realistik

PETALING JAYA, 12 Ogos (Bernama) -- Sasaran skuad Harimau Malaya mara ke final Piala AFF Suzuki 2014 di Singapura dan Vietnam dari 22 Nov hingga 20 Dis ini adalah realistik, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Katanya sudah tentu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah membuat kajian terperinci membabitkan prestasi pasukan serta perancangan ketua jurulatih skuad kebangsaan Dollah Salleh dalam meletakkan sasaran tersebut.

Beliau juga mengakui Dollah memerlukan masa untuk membentuk satu pasukan yang mantap walaupun sebelum ini Malaysia kalah kepada Tajikistan 1-4 pada perlawanan persahabatan di Stadium Central, Dushanbe, Jumaat lepas.

"Kita perlu berhati-hati dalam membuat penilaian jurulatih (Dollah) yang pertama kali membimbing skuad kebangsaan ini. Beliau mempunyai tugas berat terutamanya dalam menghadapi perlawanan besar.

"Saya harap sasaran itu realistik dan saya pasti FAM lebih mengetahui prestasi pasukan kita," katanya kepada pemberita di Jump Street, Petaling Jaya.

Selepas ini Harimau Malaya dijangka menentang Jordan dalam aksi persahabatan seterusnya pada 11 Okt di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Skuad Harimau Malaya dilapor berdepan laluan sukar pada kejohanan itu selepas diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Singapura serta juara tiga kali Thailand.

Terdahulu, Khairy menyaksikan majlis memeterai perjanjian eksklusif pertama perkongsian awam-swasta di antara Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) dan Jump Street Malaysia Sdn Bhd untuk mengenal pasti serta mencungkil bakat baharu bagi membentuk pasukan gimnastik trampolin pertama di Malaysia.

MGF diwakili Presidennya Razak Mat Amin manakala Jump Street oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Duncan McGilligan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment