Friday, August 15, 2014

Sabah Sasar 13 Emas Dalam Sukan Paralimpiad Kebangsaan Ke-17

KOTA KINABALU, 14 Ogos (Bernama) -- Kontinjen Sabah menyasarkan 13 pingat emas pada Sukan Paralimpiad Kebangsaan kali ini menerusi lima daripada sembilan acara yang dipertandingkan.

Menteri Belia dan Sukan Negeri Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata lima acara itu ialah olahraga, badminton, bola baling, ping pong dan tenis kerusi roda.

Kontinjen negeri turut menyasarkan 17 perak dan 14 gangsa pada temasya itu.

"Walaupun sasaran kali ini kurang berbanding sebelum ini, saya percaya atlet kurang upaya mampu membuat kejutan lebih daripada itu.

"Antara sebab kami meletak sasaran ini kerana terdapat acara sukan olahraga yang berpotensi untuk menang, tidak dipertandingkan pada kejohanan kali ini," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bendera kepada kontinjen Sabah di pejabatnya di sini, Khamis.

Sabah akan menghantar 47 atlet dan 21 pegawai pengiring ke kejohanan itu di Stadium Syed Putra, Kangar, Perlis pada 19 hingga 26 Ogos ini.

Dalam pada itu, Tawfiq mengingatkan atlet Sabah supaya menunjukkan disiplin dan akhlak baik pada temasya itu.

Mengenai penyalahgunaan laman sosial seperti Facebook, beliau berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan membuat keputusan sewajarnya selepas mengkaji impak terhadap penggunaan laman sosial itu.

Katanya keputusan terhadap status penggunaan laman sosial di negara ini bergantung kepada maklum balas masyarakat melalui kajian yang akan dijalankan oleh kementerian.

"Masalah ini berpunca apabila wujudnya kebebasan dalam menyampaikan status atau kenyataan berunsur fitnah dan hasutan serta lambakan bahan paparan yang tidak berlandaskan budaya ketimuran kita," katanya.

Justeru itu, beliau meminta masyarakat khususnya generasi muda supaya lebih bertanggunjawab dalam menggunakan laman sosial itu dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika ada paparan yang boleh mencetuskan pertelingkahan sesama masyarakat.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment