Monday, August 25, 2014

Pingat Emas Dari Kem Badminton Serikan Kontinjen Negara


NANJING (China), 22 Ogos (Bernama) -- Kejayaan pemain badminton negara, Cheam June Wei meraih pingat emas menerusi acara beregu campuran antarabangsa pada temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) menceriakan kontinjen negara yang sebelum ini suram tanpa sebarang pingat.

Cheam yang berganding dengan pemain Hong Kong, Ng Tsz Yau mengalahkan gandingan Tsuneyama Kanta (Jepun)/Lee Chia Hsin (Taiwan) dalam straight set 21-14 dan 23-21 pada aksi final hari ini.

Walaupun tiada kutipan pingat rasmi dikira bagi mengukur kejayaan kontinjen negara-negara yang beraksi di temasya sukan remaja terbesar dunia itu, namun kejayaan Cheam mampu membakar semangat rakan senegara untuk terus memburu pingat hingga tamat kejohanan.

Mengikut maklumat tidak rasmi kutipan pingat hari keenam YOG 2014, di laman web www.olympicsuniverse.com, pasukan tuan rumah, China terus mendominasi kejohanan tersebut apabila secara keseluruhan telah mengumpul sebanyak 16 pingat emas, enam pingat perak dan 11 pingat gangsa.

Rusia masih menjadi negara kedua tertinggi dalam senarai kutipan pingat dengan koleksi sembilan emas, tujuh perak dan lima pingat gangsa mengatasi pencabar terdekat, Itali yang sehingga kini mengumpul enam emas, tiga perak dan dua pingat gangsa.

Laman web rasmi bagi temasya empat tahun sekali ini iaitu www.nanjing2014.org tidak membekalkan maklumat mengenai kutipan pingat yang dikumpul bagi sesebuah negara sebaliknya hanya menyatakan acara sukan dan pingat harian yang dimenangi oleh sesebuah negara.

Menurut Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), YOG bukan mengenai keputusan dan persembahan tetapi lebih kepada menimba pengalaman, proses pembelajaran serta memahami karier masa depan seseorang atlet.

Tumpuan negara esok tertumpu pada acara mamanah, terjun, olaharaga, ekuesterian dan gimnastik.

Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid
  -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment