Wednesday, August 20, 2014

Nicol, Wee Wern Dan Dalia Mara Ke Pusingan Kedua


KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Pemain nombor satu dunia Datuk Nicol Ann David mendapat laluan mudah ke pusingan kedua Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia CIMB di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil di sini, malam ini.

Ratu skuasy negara itu tidak menghadapi kesukaran untuk menundukkan pemain Hong Kong, Liu Tsz Ling dengan 11-3, 11-2, 11-3 dalam masa hanya 16 minit.

"Ia kemenangan yang baik untuk saya. Saya perlu membina keyakinan untuk menghadapi minggu akan datang yang lebih mencabar," kata Nicol, yang menyambut hari jadinya yang ke-31 pada 26 Ogos ini.

Pada pusingan kedua, Nicol akan bertemu pemain India, Joshna Chinnapa yang menewaskan pemain Denmark, Line Hensen 11-8, 8-11, 11-7, 11-9 dalam perlawanan mengambil masa 50 minit.

Turut menempah tiket ke pusingan kedua ialah pemain nombor dua Malaysia, Low Wee Wern dan Delia Arnold.

Wee Wern terpaksa berhempas pulas dalam perlawanan yang berlarutan hingga empat set ketika menentang pemain Mesir, Heba El Torky, 11-8, 11-5, 10-12 dan 11-8 yang mengambil masa satu jam 14 minit.

Pemain nombor tiga negara, Delia, pemain 'wildcard' membuat kejutan apabila menyingkirkan pilihan keenam dunia, Alison Waters dari England dengan 7-11, 11-6, 8-11, 11-7 dan 11-9.

Pada pusingan kedua esok, Wee Wern akan menentang pemain England, Sarah-Jane Perry sementara Delia bertemu pemain Amerika Syarikat, Amanda Sobhy.

Dalam kategori lelaki, bekas pemain nombor 10 dunia, Mohd Azlan Iskandar layak selepas menewaskan pemain Afrika Selatan, Shaun Le Roux 11-4, 11-4, 11-3 dalam masa hanya 33 minit.

Bagaimanapun, dua lagi pemain negara - Valentino Bon Jovi Bong dan Addeen Idrakie - gagal melepasi ke pusingan kelayakan.

Mohd Azlan, 32, yang kembali bermain selepas bersara seketika, akan bertemu rakan sepasukan, Mohd Nafiizwan Adnan pada pusingan pertama undi utama esok.

Seorang lagi pemain Malaysia, Ong Beng Hee akan menentang Mahesh Mangaonkar dari India manakala Ivan Yuen akan berentap dengan pemain Finland, Olli Touminen.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment