Thursday, August 21, 2014

Nicol, Mohd Nafiizwan Mara Ke Suku Akhir Terbuka M'sia

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Ratu skuasy negara Datuk Nicol David mempunyai peluang lebih cerah untuk memburu gelaran kesembilan Kejohanan Terbuka Malaysia CIMB 2014 selepas pencabarnya Laura Massaro gagal melangkah ke saingan suku akhir.

Pada pusingan kedua di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil di sini hari ini, Nicol menepati ramalan apabila dengan mudah menempah slot suku akhir setelah mengalahkan pemain India, Joshna Chinappa.

Nicol, selaku pemain pilihan utama, hanya mengambil masa 32 minit untuk memenangi perlawanan itu dengan keputusan 11-4, 11-3 dan 11-8.

"Joshna bermain dengan baik pada mulanya tetapi setelah mendapatkan rentak, saya mengambil kesempatan daripada kesilapan yang dilakukannya," kata Nicol yang akan berdepan dengan naib juara tahun lepas, Annie Au dari Hong Kong pada suku akhir esok.

Hanya Nicol menjadi wakil tunggal wanita negara dalam kejohanan ini selepas Low Wee Wern dan Delia Arnold gagal meneruskan cabaran.

Wee Wern, pemain nombor dua negara, tewas kepada pemain England, Sarah-Jane Perry dengan keputusan 3-1, 11-13, 11-9 dan 9-11 manakala Delia kalah kepada Amanda Sobhy dari Amerika Syarikat dalam straight set 12-14, 9-11 dan 5-11.

"Saya memang sudah menjangka perlawanan ini sukar. Kejohanan ini adalah sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Terbuka Hong Kong dan China sebelum ke Sukan Asia di Korea bulan depan," kata Wee Wern.

Dalam pada itu, Massaro dari England, selaku pilihan kedua dan juara dunia dikejutkan oleh pemain Mesir, Nour El Tayeb.

Nour mengambil masa 47 untuk menyingkirkan Massaro dengan keputusan 11-7, 11-4, 6-11 dan 11-4.

Seorang lagi pemain muda Mesir, Habiba Mohamed Ahmed turut melakukan kejutan apabila mengalahkan pemain nombor 13 dunia, Jenny Duncalf dari England dengan 11-7, 6-11, 11-9 dan 11-7.

"Saya amat gembira dengan kejayaan ini...lebih-lebih lagi pada set ketiga apabila 'smash' yang dilakukan oleh Duncalf terkena kaki kanan. Walaupun mengalami kesakitan tetapi saya meneruskan permainan," kata juara remaja dunia berusia 15 tahun itu.

Dalam kategori lelaki, Mohd Hafiizwan Adnan merupakan wakil tunggal negara dalam saingan suku akhir selepas Ong Beng Hee dan Ivan Yuen gagal melepasi pusingan pertama.

Mohd Nafiizwan melangkah ke suku akhir selepas rakan senegara Mohd Azlan Iskandar yang bersara selepas ketinggalan 1-2.

Beng Hee pula kalah kepada pemain India, Mahesh Mangaokar 8-11, 11-7, 10-12, 12-10 dan 10-12 manakala Ivan pula mengalami nasib sama di tangan pemain Finland, Olli Touminen, 7-11 13-11, 10-12, 11-7 dan 10-12.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment