Friday, August 15, 2014

Nanjing Medan Terbaik Persiap Atlet Muda Sebelum Cabaran Sebenar Pada Sukan Olimpik Brazil 2016


Wong Pei Tty


NANJING (China), 14 Ogos (Bernama) -- Sukan Olimpik Remaja (YOG) 2014 yang membuka tirai pada Isnin ini merupakan pentas terbaik bagi atlet pelapis negara mencari tapak mewakili negara pada Sukan Olimpik di Brazil pada 2016.

Walaupun tidak diletakkan sebarang sasaran, ini tidak bermakna kontinjen negara seramai 41 atlet dan pegawai boleh mengambil mudah atau pulang dengan tangan kosong tanpa mencapai kejayaan di sini.

Ketua kontinjen negara ke temasya tersebut, Wong Pei Tty mengingatkan atlet muda negara agar berusaha dengan bersungguh-sungguh dan tidak takut kepada lawan bagi membuktikan kemampuan masing-masing jika mereka ingin pergi lebih jauh iaitu di peringkat Sukan Olimpik.

Beliau optimis bahawa ada beberapa atlet pelapis daripada sukan badminton dan terjun mempunyai potensi menyumbang pingat kerana kebanyakan daripada mereka pernah beraksi di kejohanan bertaraf dunia seperti kejohanan kelayakan YOG sebelum ini.

"Bukan sesuatu yang mustahil untuk kita bawa pulang pingat dan saya ingatkan atlet agar tidak mudah mengalah walaupun terpaksa berhadapan dengan lawan yang kuat kerana tiada istilah 'kalah' sebelum tamat perlawanan.

"Mereka (atlet) bukan ke sini untuk 'makan angin' sebaliknya menimba pengalaman berguna bagi melengkapkan diri masing-masing selaras dengan usaha negara melahirkan lebih ramai atlet muda agar Malaysia tidak ketandusan jaguh sukan baik pada masa sekarang mahupun pada masa depan," katanya.

Wong berkata beliau berpuas hati dengan kemudahan dari segi penginapan atlet yang disediakan oleh pihak penganjur yang menunjukkan bahawa mereka (kerajaan China) bersungguh-sungguh mahu menjayakan temasya edisi kedua ini.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada kerajaan China kerana telah berjaya menyediakan kemudahan selesa dan diperlukan oleh atlet," katanya.

Beliau berkata semua atlet negara telah memulakan latihan hari ini walaupun ada antara mereka seperti atlet olahraga, gimrama dan memanah baru tiba hari ini.

Kontinjen negara akan menyertai 10 daripada 28 jenis acara sukan yang dipertandingkan iaitu akuatik (renang dan terjun), badminton, gimnastik (artistik dan gimrama), golf, memamah, menembak, olahraga, pelayaran, taekwondo, dan juga ekuestrian.

Malaysia sebelum ini pernah menghantar 13 atlet pelapis negara beraksi dalam enam acara sukan pada edisi pertama YOG di Singapura empat tahun lepas dan berjaya membawa pulang dua pingat perak menerusi ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg.


Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment