Wednesday, August 06, 2014

Malaysia Berdepan Laluan Sukar Pada Kejohanan Piala AFF Suzuki 2014

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Malaysia berdepan laluan getir pada Kejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Suzuki 2014 yang bakal dihoskan bersama oleh Singapura dan Vietnam dari 22 Nov sehingga 20 Dis ini.

Pada majlis undian yang diadakan di Hanoi, Vietnam hari ini dan disiarkan secara langsung menerusi laman sesawang AFF, www.aseanfootball.org, skuad Harimau Malaya kendalian Dollah Salleh diundi dalam kumpulan B bersama Singapura yang merupakan juara bertahan selain juara tiga kali kejohanan, Thailand.

Juara 2008, Vietnam diletakkan dalam kumpulan A bersama empat kali naib juara, Indonesia dan Filipina.

Laos akan menjadi tuan rumah pusingan kelayakan yang dijadualkan berlangsung dari 12-20 Okt ini bersama empat pasukan lain -- Timor Leste, Brunei Darussalam, Kemboja dan Myanmar bagi merebut dua slot terakhir kejohanan.

Pemenang dan naib juara pusingan kelayakan, masing-masing bakal menghuni kumpulan B dan A.

Perlawanan kumpulan A akan berlangsung di Vietnam manakala kumpulan B akan beraksi di Singapura.

AFF masih mengekalkan format liga dengan dua pasukan terbaik setiap kumpulan layak ke separuh akhir.

Dua pemenang perlawanan separuh akhir bakal beraksi dalam perlawanan timbal balik bagi menentukan juara kejohanan bola sepak rantau Asia Tenggara itu.

Untuk rekod, Singapura merupakan pemenang terbanyak kejohanan sebanyak empat kali (1998 dan 2004 - ketika itu dikenali sebagai Piala Tiger), 2007 dan 2012 selain Thailand sebanyak tiga kali -- 1996, 2000 dan 2002.

Malaysia pula meraih kejuaraan sulung Piala AFF Suzuki pada 2010 yang dihoskan bersama Indonesia dan Vietnam selain pernah muncul naib juara pada 1996 selepas kalah 0-1 kepada Thailand.

Skuad Harimau Malaya kini berada di Tajikistan bagi aksi persahabatan antarabangsa menentang negara berkenaan yang bakal diadakan, Jumaat ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menetapkan sasaran ke final kepada skuad Harimau Malaya bagi saingan Piala AFF Suzuki 2014.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment