Wednesday, August 13, 2014

Kriteria Atlet Ke Kejohanan Antarabangsa Perlu Diperketat - Khairy

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Kriteria kontinjen negara ke temasya besar perlu diperketat bagi menjaga kualiti dan prestasi atlet negara, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata berdasarkan pengalaman pada Sukan Komanwel di Glasgow, proses pemilihan agak longgar menyebabkan atlet yang tidak layak turut dihantar ke kejohanan itu.

"Kriteria baharu yang lebih ketat akan diguna pakai bagi penyenaraian kontinjen ke Sukan Asia di Incheon yang akan dibincangkan pada mesyuarat Exco MOM (Majlis Olimpik Malaysia), esok.

"Saya saran MOM supaya perketatkan kriteria pemilihan kontinjen ke kejohanan antarabangsa supaya tidak ada istilah atlet melancong.

"Kita tidak mahu mereka pergi tapi tidak tunjukkan prestasi setanding dengan kejohanan yang disertai," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bedah siasat Sukan Komanwel dan persiapan Sukan Asia di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini hari Selasa.

Sementara itu, mesyuarat hari ini juga mengenal pasti beberapa jenis sukan yang dikategorikan sebagai 'tenat' ekoran prestasi buruk di Glasgow baru-baru ini.

Justeru, Khairy berkata sukan tenat itu perlu mengemukakan alasan kukuh untuk membolehkan mereka menyertai kontinjen di Incheon pada September depan.

"Jangan sekadar hantar nama atlet dengan prestasi terkini sahaja. Saya mahu mereka buat justifikasi dan perbandingan atlet kita dengan atlet negara lain," katanya.

Dalam pada itu Khairy berkata penyertaan atlet kategori B perlu dilakukan dengan lebih teliti berdasarkan prestasi semasa dan jangkaan prestasi.

Katanya alasan untuk memberikan pendedahan hanya boleh dipakai ke atas atlet pelapis yang berpontensi tinggi dan standard atlet itu setanding dengan pencapaian atlet Asia.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment