Thursday, August 28, 2014

Koo Sedia Wakili Negara Sekiranya Khidmatnya Masih Diperlukan



COPENHAGEN, (Denmark), 27 Ogos (Bernama) -- Bekas pemain beregu negara, Koo Kien Kiat menyatakan kesediaan beliau untuk mewakili negara dalam mana-mana kejohanan sekiranya khidmat beliau masih diperlukan.

Beliau yang kini merupakan jurulatih di salah sebuah kelab profesional di Thailand berkata peluang mewakili negara sewajarnya dimanfaatkan oleh mana-mana pemain sebaik mungkin.

"Saya sentiasa bersedia menawarkan diri untuk mewakili negara walaupun sudah berusia selain sudah berkeluarga," katanya ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Badminton Dunia BWF 2014 di Ballerup Super Arena, di sini, Rabu.

Terdahulu, beliau yang bergandingan dengan Tan Boon Heong mengesahkan slot ke pusingan ketiga kejohanan selepas menundukkan beregu muda China, Li Junhui dan Liu Yuchen 21-14 dan 21-18.

Pada masa yang sama, Koo tidak meletakkan sebarang sasaran pada kejohanan kali ini sambil berharap dapat memberikan persembahan terbaik dalam aksi seterusnya berdepan pilihan keenam dari Taiwan, Lee Sheng Mu dan Tsai Chia Hsin.

Lee dan Tsai mara selepas seorang lagi wakil negara, Goh V Shem dan Lim Khim Wah memutuskan untuk menarik diri berikutan kecederaan belakang yang dialami Goh.

"Saya tidak letak sebarang harapan sama ada ke suku atau separuh akhir memandangkan saya tidak berlatih bersama Tan dalam beberapa bulan sebelum ini. Saya mahu nikmati kenangan kami beraksi bersama," kata Koo yang sebelum ini mengambil keputusan mengejut untuk bersara sebagai pemain, Mac lepas.

Dalam pada itu, Tan berpuas hati dengan persembahan beliau pada aksi pertama dan berharap dapat mengekalkan momentum sepanjang kejohanan edisi ke-21 ini.

"Set pertama kita menang agak mudah namun kita agak terburu-buru untuk menamatkan perlawanan pada set kedua. Saya rasa agak gembira kerana dapat kembali beraksi bersama Koo," katanya.

Untuk rekod, Koo dan Tan pernah muncul sebagai naib juara kejohanan dunia pada edisi 2010 yang diadakan di Perancis selepas kalah kepada bekas juara Olimpik, Fu Haifeng dan Cai Yun dari China pada aksi final.

Daripada Mazani Chan Yat Sin -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment