Monday, August 25, 2014

Kontinjen Negara Lenyap Kritikan Dengan Rangkul Pingat Ketiga



NANJING (China), 24 Ogos (Bernama) -- Kontinjen negara mendiamkan mulut pengkritik dengan merangkul pingat ketiga pada Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) menerusi pemanah Muhamad Zarif Zolkifli pada hari kelapan temasya edisi kedua di sini hari ini.

Muhamad Zarif, yang bersaing dalam acara recurve campuran antarabangsa, menghadiah sebutir pingat perak, sekali gus meningkatkan pungutan pingat negara kepada satu emas dan dua perak.

Pencapaian tersebut di Lapangan Memanah Fangshan di sini telah menepati sasaran peribadi ketua kontinjen Wong Pei Tty yang sebelum ini dihujani kritikan setelah gagal mendapat sebarang pingat pada awal temasya khususnya empat hari selepas memulakan saingan.

Pingat emas pertama negara sebelum ini disumbang oleh pemain badminton Cheam June Wei dalam acara beregu campuran antarabangsa manakala pingat perak oleh penerjun wanita negara, Loh Zhiayi dalam acara 10m platform individu.

Pencapaian semasa kontinjen negara itu telah melepasi pungutan dua pingat perak oleh ratu terjun negara Pandelela Rinong pada edisi pertama di Singapura pada 2010.

Selain mengatasi pencapaian edisi pertama, kontinjen negara mampu menarik nafas lega apabila dapat melenyapkan kritikan sesetengah pihak yang menyifatkan penghantaran atlet pelapis negara ke Nanjing sebagai satu pembaziran dan atlet hanya ke sini untuk 'makan angin'.

Sementara itu, atlet ekuestrian negara, M.Praveen Nair bersama kudanya, 'Arkansas', yang bakal mengalas cabaran negara di Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, bulan depan, gagal mendapat rentak kemenangan apabila hanya menduduki tempat kelima dalam acara individu Jumping.

Nasib yang sama turut menimpa atlet gimnastik, Jeremiah Loo Phay Xing yang terus dihantui kekecewaan apabila sekadar menduduki tempat kedua tercorot (tempat ketujuh) dalam acara Palang Sejajar individu lelaki akhir.

Beliau hanya mengumpul sebanyak 13.366 mata.

Pasukan tuan rumah, China terus mendominasi kejohanan tersebut apabila secara keseluruhan telah mengumpul sebanyak 21 pingat emas, sembilan pingat perak dan 13 pingat gangsa.

Rusia masih menghuni tangga kedua dengan koleksi 19 emas, 15 perak dan sembilan pingat gangsa diikuti Itali dengan enam emas, enam perak dan empat pingat gangsa.

Esok, atlet negara akan mengambil bahagian dalam acara terjun, olahraga dan gimnastik.

Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment