Friday, August 22, 2014

Kontinjen Negara Dan Petugas Media Turut Bertafakur Di Sukan Olimpik Remaja


NANJING (China), 21 Ogos (Bernama) -- Walaupun jauh di perantuan untuk menggalas tugas atas nama negara, kontinjen negara dan petugas media Malaysia pada temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) di sini tetap akan bertafakur sempena Hari Perkabungan Negara esok.

Ketua Unit Pelapis Kebangsaan, Majlis Sukan Negara (MSN), Azrul Hisyam Abdul Jalil berkata walaupun tiada majlis khusus diadakan tetapi atlet dan pegawai serta petugas media akan bertafakur serta menghadiahkan surah al-Fatihah kepada mangsa nahas MH17.

"Kami (kontinjen negara di YOG 2014) turut merasai kesedihan terhadap insiden tersebut dan mengucapkan takziah kepada mangsa nahas," katanya kepada Bernama di sini Khamis.

Sementara itu, wartawan meja sukan Bernama, Ahmad Muliady Abdul Majid berkata kesibukan dalam membuat liputan tidak menghalang beliau dan rakan media Malaysia lain bertafakur dan membaca surah al-Fatihah kepada mangsa yang beragama Islam sempena istiadat penghormatan jenazah mangsa nahas MH17 di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

"Walaupun sibuk membuat liputan, kami sebagai rakyat Malaysia tetap merasai kesedihan terhadap insiden MH17 di sini," katanya.

Sebanyak 20 jenazah warga Malaysia (11 beragama Islam, sembilan bukan beragama Islam) dijangka tiba di KLIA esok dari Amsterdam, Belanda.

Penerbangan MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal, ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia, 17 Julai lepas.



Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid  -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment