Monday, August 11, 2014

Khairy Sanggup Letak Jawatan Jika Kegagalan Di Glasgow Berpunca Daripadanya

JITRA, 9 Ogos (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyatakan bahawa beliau sanggup meletak jawatan sekiranya terbukti bahawa kegagalan pada Sukan Komanwel ke-20 di Glasgow, Scotland baru-baru ini berpunca daripada dirinya.

Khairy berkata, beliau bersedia berbuat demikian jika hasil post-mortem dan kajian mendalam mendapati kegagalan pada temasya sukan itu berpunca sepenuhnya daripada kesilapannya sendiri dalam membuat sebarang keputusan.

"Tanyalah kepada persatuan-persatuan sukan dan pegawai-pegawai terlibat, kalau saya bersalah, saya bersedia untuk meletak jawatan setelah memegang jawatan ini lebih kurang setahun lebih," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakkan Sayap Umno Bahagian Kubang Pasu di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya juga masih belum membuat sebarang keputusan muktamad berkenaan pemilihan kontinjen ke Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan September ini.

"Proses itu sudah pasti akan dipengaruhi oleh pretasi di Glasgow dan saya akan buat ketetapan pilihan kontinjen sebelum bincang tentang sasaran pingat," kata Kairy.

Mengenai pemilihan atlet beliau berkata elemen pendedahan perlu ada tetapi mereka akan dipilih dengan teliti dan mengambil kira bahawa atlet berkenaan mempunyai peluang untuk memenangi pingat.

"Sebahagian daripada atlet yang akan dihantar mestilah ada elemen pendedahan dan memenuhi beberapa kriteria, hantar untuk pendedahan, dengan harapan tak jadi bahan belasahan negara lain dan ada potensi untuk menang," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata semua pergerakkan Pemuda Umno bahagian akan membawa tiga usul iaitu berkaitan keharmonian rakyat.

"Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap apa juga tulisan yang menghina apa juga agama. Ada persepsi bahawa pihak berkuasa tidak bertindak dengan cepat dan tegas.

"Usul kedua ialah peremajaan parti, perlu ada kuota 30 peratus keseluruhan bagi calon-calon pilihan raya dan pembuat dasar iaitu lantikan ke majlis perbandaran dan GLC, juga harus ambil kira wakil-wakil daripada generasi muda dalam Umno dan usul ketiga ialah kecaman terhadap Israel," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment