Thursday, August 07, 2014

Ketua Kontinjen M'sia Ke Sukan Asia Tidak Mahu Letak Sasaran Awal

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan Datuk Danyal Balagopal Abdullah dilihat lebih berhati-hati dan tidak mahu meletakkan harapan tinggi dalam menyatakan sasaran awal pingat.

Danyal berkata sebagai ketua kontinjen beliau tidak mahu terlalu bersifat 'judgemental/pertimbangan' dalam meletakkan sasaran awal kontinjen negara ke Sukan Asia, September ini.

"Sasaran saya ialah setiap sukan ataupun atlet harus buat persembahan peribadi terbaik. Bila diterima wakili negara ke sesebuah kejohanan mereka kena buat yang terbaik.

"Sebarang kejohanan adalah medan untuk para atlet mempamerkan aksi yang lebih baik. Sebagai contoh, kalau sebelum ini dia berada di tempat keenam, sekurang-kurangnya di Sukan Asia dia berada di tangga keempat ataupun ketiga," katanya selepas majlis pelancaran Kempen Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan oleh Samsung di sini pada Rabu.

Danyal berkata pihaknya tidak mahu membebankan dan meletakkan tekanan kepada para atlet dengan menyatakan sasaran terlalu awal.

Katanya sasaran awal pingat ditentukan Persatuan Sukan Nasional (NSA) dan ia hanya akan diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Ditanya mengenai persiapan atlet ke Sukan Asia, Danyal berkata persiapan kini berada dalam keadaan memuaskan walaupun agak 'terganggu' dengan temasya Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland.

"Separuh daripada sukan yang akan sertai Sukan Asia menyertai Sukan Komanwel, jadi mereka tidak hanya tertumpu kepada Sukan Asia. Tumpuan mereka terbahagi dua namun ia bukan gangguan sebenar kerana ia boleh dianggap sebagai latihan dan cara untuk perbaiki prestasi.

"Jadi setelah Sukan Komanwel berakhir, mereka boleh tumpukan balik perhatian ke arah persediaan menghadapi Sukan Asia tidak lama lagi. Senarai sukan yang bakal mengambil bahagian sudah dihantar kepada sekretariat Sukan Asia," katanya.

Mengikut anggaran kasar, sebanyak 550 pegawai sukan dan atlet akan menyertai Sukan Asia kali ini.

Mengulas kenyataan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong mengenai 'MSN mahu lebih kuasa tentukan atlet ke Sukan Asia', Danyal berkata kenyataan tersebut telah disalahertikan oleh sesetengah pihak.

Katanya dalam jawatankuasa pemilihan Sukan Asia, MSN memainkan peranan utama dalam proses mengkaji dan memilih atlet bagi mewakili negara ke sesebuah kejohanan.

"Jawatankuasa pemilihan bukan terdiri daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sahaja.. ia adalah termasuk MSN, Institut Sukan Negara (ISN) dan NSA. MSN adalam tonggak utama dalam jawatankuasa tersebut," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment