Tuesday, August 26, 2014

Kesalahan serius!


Kuala Lumpur: Sebanyak 10 pertuduhan dikemukakan Pejabat Pesuruhjaya Sukan kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang kini berdepan penggantungan pendaftaran susulan isu membabitkan peruntukan kewangan yang disalurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar selepas mengadakan mesyuarat bersama Panel Penasihat Sukan pada minggu lalu mengarahkan surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada PKBM susulan audit dijalankan pihaknya pada awal tahun ini untuk tempoh tiga tahun, bermula 2011 hingga tahun lalu.

Khairy menjelaskan banyak kesalahan berlaku membabitkan perlembagaan, salah urus kewangan, konflik kepentingan dan kekurangan tanggungjawab yang serius sehingga menyebabkan beliau memutuskan proses ke arah penggantungan dimulakan terhadap badan induk berbasikal negara itu.

“Sepuluh pertuduhan yang dikemukakan kepada PKBM itu dilihat terlalu umum.

Antara pertuduhan yang dikemukakan termasuk mengenai penggunaan firma audit bertauliah dalam laporan audit sebelum ini dan persoalan kenapa tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan seperti ditetapkan,” kata sumber.

PKBM diberi tempoh 14 hari sehingga 4 September untuk menjawab surat berkenaan dengan alasan kukuh bagi mengelakkan daripada digantung.


Sebelum ini mereka pernah diberikan peluang untuk memberi penjelasan iaitu ketika siasatan audit dalaman KBS dijalankan selain siasatan Panel Penasihat Sukan.

Difahamkan PKBM akan mengadakan mesyuarat majlis dalam tempoh terdekat dengan memanggil 10 exco serta 15 wakil ahli gabungan setiap negeri agar semua pihak dalam persatuan berkenaan dapat mengetahui perkara sebenar dan memberikan pandangan masing-masing.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi menasihatkan badan sukan berkenaan agar memahami secara terperinci pertuduhan dikemukakan selain mendapatkan khidmat peguam sekiranya perlu.

Isu membabitkan PKBM bermula apabila mereka gagal meraih emas dalam acara lebuh raya di Sukan SEA 2013, kali terakhir meraih emas pada 2005 di Filipina, walaupun mendapat pembiayaan jutaan ringgit setiap tahun daripada KBS.

Ia mencetuskan tanda-tanya mengenai peruntukan berkenaan yang bertujuan membangunkan pelumba lebuh raya negara selaras dengan penganjuran perlumbaan berprestij, Le Tour de Langkawi (LTdL).



Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment