Monday, August 11, 2014

Keputusan ‘gila’


Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dijangka membuat keputusan 'cukup gila' pada satu mesyuarat tergempar hari ini yang membabitkan masa depan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah selaku pengendali skuad hoki negara.
Difahamkan, badan induk itu hampir pasti akan membuat keputusan membekukan khidmat pengendali berusia 45 tahun itu dan pada masa sama memilih bekas pengendali skuad negara Tai Beng Hai selaku ketua jurulatih sementara.

Sekiranya ia benar-benar berlaku, maka MHC sememangnya membuat keputusan cukup berisiko kerana temasya Sukan Asia, temasya yang disasarkan oleh badan induk itu untuk memenangi pingat emas sekali gus memastikan Malaysia layak ke Sukan Olimpik Rio pada 2016, hanya akan berlangsung 39 hari saja lagi.

Bukan mempertikaikan kemampuan Beng Hai, namun jika mengikut logik akal, seorang jurulatih terbaik dunia sekali pun sudah pasti tidak mampu memenuhi sasaran itu.

Menurut sumber, drama pertukaran jurulatih itu hampir pasti berlaku hari ini pada mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Presiden Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Dijangka turut serta pada mesyuarat itu Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abd Aziz.
“Sebelum ini memang ada cakap-cakap Arul (Selvaraj) akan ambil alih tugas Dhaarma. Begitu juga dengan Sarjit Singh.

“Tapi Arul mempunyai komitmen selaku pengendali skuad remaja negara manakala Sarjit tidak pasti pula,” jelas sumber itu.
Difahamkan Dhaarma akan menyambung semula tugasnya selepas Sukan Asia kerana kontraknya hanya tamat pada Disember 2015.

Menurut sumber itu lagi, sekiranya benar MHC akan membuat ketetapan memilih Beng Hai, maka misi untuk memenangi pingat emas boleh dikuburkan.

“Kalau Beng Hai mempunyai masa yang lebih lama untuk mempersiapkan pasukan, peluang mungkin cerah, tapi Piala Asia tak sampai 40 hari saja lagi. Jadi apa yang beliau mampu lakukan? “Saya rasa Beng Hai pun akan fikirkan perkara sama,” katanya.

Dhaarma sebelum ini dikritik hebat berikutan aksi longlai skuad hoki negara pada Piala Dunia di The Hague, Belanda.

Beliau terus menerima kritikan selepas anak buahnya sekali lagi mempamer aksi hambar pada temasya Sukan Komanwel yang menyaksikan dalam salah satu perlawanan, mereka tewas kepada Trinidad & Tobago.



Oleh Saiful Affendy Sapran, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment