Thursday, August 14, 2014

Kekal bersama BAM demi pemain


Kuala Lumpur: Selepas berteka teki mengenai masa depannya, ketua jurulatih perseorangan negara Rashid Sidek akhirnya mengesahkan untuk terus kekal bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ketika hubungan dinginnya dengan Presiden Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff masih belum menemui jalan penyelesaian.

Meskipun menyatakan mahu kekal, raut wajah Rashid jelas masih berat untuk meneruskan kerjayanya itu, namun atas nasihat beberapa pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar kelmarin, beliau membulat tekad untuk terus bersama badan induk itu.
“Buat masa ini saya masih lagi jurulatih dan belum berhasrat letak jawatan.

Memang menteri ada hubungi saya semalam (kelmarin) dan bincang masalah ini.

Dia minta saya teruskan kerja dan persiapkan pemain.
“Dia mahu saya banyakkan bersabar dan cuba tenangkan fikiran,” katanya.

Namun Rashid masih tidak pasti apakah BAM bakal membuat keputusan dengan membawanya ke Kejohanan Dunia di Denmark bermula 25 Ogos ini seperti diinginkan Timbalan Presiden BAM Datuk Mohamad Norza Zakaria selepas Tengku Mahaleel hanya memilih Hendrawan serta Tey Seu Bock untuk menggalas tugas itu.

“Biasanya dalam kejohanan besar memang saya pergi, tapi dengan keadaan semasa, saya tak pasti lagi,” katanya Rashid mengaku fokusnya sedikit terjejas berikutan segala isu membabitkan dirinya serta Tengku Malaheel.

“Memang sedikit terjejas tapi sebagai profesional, saya perlu teruskan dengan penuh komitmen,” katanya.

Rashid juga mendedahkan berdepan ujian cukup hebat dan perlu menjawab surat tunjuk sebab diserahkan BAM kepadanya sebelum saingan Sukan Komanwel lalu.

“Surat itu berkaitan saya membuat kenyataan di akhbar, menyatakan untuk letak jawatan sebagai ketua pasukan.

Saya harus menjawabnya dalam tempoh dua minggu,” katanya.
Ditanya adakah wajar untuk presiden meletak jawatan dan bukan dirinya, Rashid bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Saya tak nak terbabit sebarang isu lagi sebab tak suka bergaduh.

Yang penting hanya mahu fokus kepada kerjaya saya saja,” katanya.

Rashid berkata, dorongan untuk kekal bukan saja hadir daripada nasihat Khairy, malah beliau berasa tugasnya bersama skuad negara belum selesai.

“Kalau ikutkan memang banyak belum diselesaikan lagi dan saya nak bantu pemain mempersiapkan diri ke Kejohanan Dunia dan Sukan Asia,” katanya.


Oleh Saiful Affendy Sapran, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment