Thursday, August 28, 2014

Jurulatih Dan Pemain Sentiasa Berbincang Sebelum Dibenarkan Beraksi - Pang



COPENHAGEN, (Denmark), 27 Ogos (Bernama) -- Jurulatih beregu negara, Pang Cheh Chang berkata barisan kejurulatihan badminton negara sentiasa berbincang dengan pemain sebelum mereka dibenarkan beraksi dalam mana-mana kejohanan.

Beliau berkata sekiranya seseorang pemain disahkan mengalami kecederaan, jurulatih terlibat tidak akan memaksa mereka untuk beraksi bagi mengelakkan kecederaan tersebut bertambah parah.

Misalnya kecederaan belakang yang dialami pemain beregu lelaki negara, Goh V Shem, Pang berkata pemain berkenaan bersetuju untuk turun beraksi pada Kejohanan Dunia yang berlangsung ketika ini walaupun sudah mengetahui beliau belum pulih sepenuhnya.

"Selepas balik dari Sukan Komanwel 2014, saya ada bertanya dengan Goh mengenai kecederaan beliau. Selain itu, saya akan bertanya keadaan pemain lain setiap dua minggu.

"Saya tidak akan memperjudikan nasib mana-mana pemain dalam mana-mana kejohanan namun kadang kala saya terpaksa mengambil risiko memandangkan tahun ini kita mempunyai jadual yang agak padat," katanya ketika ditemui pemberita, di sini, pada Rabu.

Goh yang bergandingan dengan Lim Khim Wah terpaksa menarik diri pada set kedua ketika berdepan pilihan keenam, Lee Sheng Mu dan Tsai Chia Hsin dari Taiwan selepas pemain berkenaan mengadu mengenai kecederaan belakangnya pada aksi pusingan kedua pada Rabu.

Pang berkata pihaknya sudah memaklumkan kecederaan dialami Goh kepada doktor pasukan dan pemain berkenaan akan berehat selama beberapa minggu untuk meneruskan proses rawatan.

Daripada Mazani Chan Yat Sin -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment