Monday, August 11, 2014

Jangan menggelabah - Kok Chi

KUALA LUMPUR - Jangan mudah menggelabah dan tiada siapa perlu meletakkan jawatan atas kegagalan kontinjen negara pada Sukan Komanwel di Glasgow, kata Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi.

Kata Kok Chi, kesediaan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin untuk bertindak demikian tidak akan membantu Malaysia keluar daripada kemelut kemerosotan yang melanda sukan tanah air.
"Badan induk yang bertanggungjawab adalah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Kita masih belum melakukan post-mortem, jadi tunggulah kita mesyuarat dulu bagi mengenal pasti mana-mana kesilapan yang telah berlaku.

"Kenapa pula menteri hendak meletakkan jawatan, ini bukan salah beliau.
"Hanya disebabkan perasaan kecewa dan rasa tanggungjawab, beliau hendak berbuat demikian, bagi saya isu ini tidak ada mengena dengan menteri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai kesediaan Khairy meletak jawatan sekiranya terbukti bahawa kegagalan pada Sukan Komanwel ke-20 di Glasgow, Scotland berpunca daripada dirinya.
Khairy berkata, beliau sedia berbuat demikian jika hasil post-mortem dan kajian mendalam mendapati kegagalan pada temasya sukan itu berpunca sepenuhnya daripada kesilapannya sendiri dalam membuat sebarang keputusan.

Kok Chi memberitahu, kemelut yang melanda tidak perlu diselesaikan dengan cara meletakkan jawatan, lagi pun Khairy baru sahaja menyusun perancangan untuk program Sukan SEA 2017 kira-kira tujuh bulan lalu.

"Kegagalan yang berlaku pada Sukan Komanwel tidak ada kaitan dengan perancangan tersebut. Jadi, adalah tidak munabah untuk kita mengaitkan pelan Sukan SEA dengan kemerotan di Glasgow dan tidak lama lagi kita akan menghadapi Sukan Asia pula, ia satu tempoh yang singkat," ujarnya.

Mengulas mengenai sasaran, beliau menegaskan, setiap temasya yang disertai perlu ada sasaran kerana penyertaan kontinjen negara bukanlah dilakukan atas tiket melancong, tetapi sebaliknya mempertaruhkan maruah Malaysia.

"Kita perlu letakkan sasaran termasuk Sukan Asia di Korea Selatan. Kita ke sana bukan untuk melancong, kita dibiayai oleh wang kerajaan untuk ke sana, jadi sasaran perlu ada. Semua ini bukan percuma, jadi perlulah ada balasan balik iaitu dengan mememangi pingat emas," katanya.

Sementara itu, Ketua Kontinjen Sukan Komanwel, Datuk Ong Poh Eng turut senada dengan Kok Chi apabila tidak bersetuju dengan kesediaan Khairy meletakkan jawatannya kerana Menteri Belia dan Sukan itu tidak bertanggungjawab di atas kemerosotan prestasi atlet.
"Orang lain memang boleh menuding jari kerana ia satu perbuatan yang mudah.

"Saya berasakan apa yang berlaku ini tidak adil. Kenapa pula Khairy yang perlu melepaskan jawatannya selaku menteri. Kita perlu duduk berbincang untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.
Tambah beliau, masih ada ruang untuk memperbaiki kelemahan dan menuding jari ke arah segelintir pihak tidak mampu menyelesaikan kemelut yang melanda.

Oleh AIZAWATI AHMAD
aizawati.ahmad@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment