Monday, August 18, 2014

Hujan Bukan Penghalang Kemeriahan Pembukaan Sukan Olimpik Remaja 2014

NANJING, 16 Ogos (Bernama) -- Hujan tidak halang kemeriahan upacara pembukaan temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) Kedua di Nanjing, China yang berlangsung dengan penuh warna-warni di Stadium Utama, Pusat Sukan Olimpik Nanjing dekat sini malam ini.

Acara selingan majlis pembukaan YOG 2014 dimulakan dengan beberapa persembahan berkaitan budaya masyarakat China, antaranya tarian naga, yang berlangsung selama 60 minit.

Kira-Kira 62,480 penonton yang memenuhi stadium memberi penghormatan atas ketibaan Presiden China Xi Jinping dan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) Thomas Bach.

Majlis diteruskan dengan detik perasmian yang menjadi simbol YOG 2014 bermula secara rasmi diikuti perarakan masuk 204 pembawa bendera yang bermula dengan Greece dan China sebelum disusuli negara lain.

Perenang pelapis kebangsaan Lim Ching Hwang dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang, mewakili 41 atlet dan pegawai yang mengambil bahagian pada temasya kali ini.

Acara diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Bach.

Penonton kemudian disajikan dengan lagu 'Dreams Everlasting', yang merupakan tema YOG 2014 oleh penyanyi terkenal Lei Jia diikuti persembahan akrobatik basikal membabitkan sekumpulan remaja dan koreografi bertajuk 'Light up the Future' yang berkisar mengenai sejarah serta pembangunan China.

Kontinjen negara, yang diketuai bekas pemain badminton negara Wong Pei Tty, mengambil bahagian dalam sepuluh daripada 28 acara yang dipertanding iaitu akuatik (renang dan terjun), badminton, gimnastik (artistik dan gimrama), golf, memanah, menembak, olah raga, pelayaran, taekwondo dan ekuestrian.

Badan pentadbir sukan negara Majlis Sukan Negara, Majlis Olimpik Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan bagaimanapun tidak meletak sebarang sasaran pingat bagi temasya sukan yang diadakan setiap empat tahun sekali ini.

Pada edisi pertama YOG 2010 di Singapura, Malaysia menghantar 13 atlet pelapis negara beraksi dalam enam acara sukan dan mereka berjaya membawa pulang dua pingat perak menerusi Pandelela Rinong Pamg.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment