Wednesday, August 13, 2014

Hanya Sabah Belum Tandatangan Perjanjian Pembangunan Sukan - ISN

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Hanya Sabah belum menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi menjalinkan kerjasama berhubung pembangunan bidang sains sukan di seluruh negara, kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abd Aziz.

Beliau berkata Melaka menjadi negeri terbaharu yang menandatangani MOU berkenaan dan yakin Sabah akan turut serta, tidak lama lagi.

"Setiap negeri mempunyai tatacara dan peraturan sebelum menandatangani memorandum persefahaman itu. Pada masa itu Melaka dan Sabah yang masih belum selesai.

"Dan hari ini selepas meneliti dengan terperinci dan secara khusus keperluan negeri itu dalam bidang sains sukan, Melaka telah setuju untuk tandatangan MoU," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU antara ISN dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka di ISN di sini hari Selasa.

Menurut beliau, perjanjian itu membolehkan satu kerjasama diwujudkan bagi memastikan tugas dan tanggungjawab kedua-dua pihak lebih jelas dan sistematik dalam bidang sains sukan, penyelidikan dan perubatan sukan.

Katanya, perjanjian itu juga dirancang bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan mendapat persetujuan negeri dan ISN serta wujud budaya merancang program latihan atlet bersandarkan bukti.

Beliau berkata Pusat Satelit ISN diberi mandat untuk bekerjasama dengan MSN Melaka dalam proses penyelarasan program-program pendidikan jurulatih dan atlet.

"Kerjasama yang dijalin ini juga tidak terkecuali untuk mengeratkan lagi hubungan ISN Bukit Jalil dengan MSN Melaka terutama dalam merangka dan menjalankan kajian berkaitan sains sukan dan penyelidikan," katanya.

Sehingga Ogos 2014, ISN mempunyai 17 buah Pusat Satelit di 12 negeri di seluruh negara termasuk di Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) Johor yang bertujuan menjana sukan melalui khidmat Sains Sukan, Perubatan Sukan dan Teknologi sukan kepada atlet dan jurulatih di peringkat akar umbi.

Sehingga 2014, cawangan Pusat Satelit mempunyai sebanyak 76 kakitangan termasuk pegawai, penolong pegawai dan pembantu tadbir dengan perkhidmatan sains sukan yang disediakan termasuk Psikologi Sukan, Suaian Fizikal, Fisiologi Senam dan Pemakanan Sukan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment