Wednesday, August 27, 2014

Goh Dan Lim Serasi Dalam Kejohanan Badminton Dunia 2014

COPENHAGEN, (Denmark), 26 Ogos (Bernama) -- Beregu lelaki negara, Goh V Shem dan Lim Khim Wah berpuas hati dengan kemenangan yang diraih pada pusingan awal Kejohanan Badminton Dunia BWF 2014 di Ballerup Super Arena, di sini, hari ini.

Lim berkata, kemenangan tersebut memberikan keyakinan kepada mereka untuk terus kekal konsisten dalam perlawanan seterusnya berdepan pilihan keenam, Lee Sheng Mu dan Tsai Chia Sin dari Taiwan pada Rabu.

Terdahulu, mereka mengalahkan pasangan Afrika Selatan, Andries Malan dan Willem Viljoen dengan kemenangan 21-12 dan 21-11.

"Saya agak berpuas hati dengan persembahan kami yang sudah lama tidak beraksi bersama, jadi saya rasa keserasian permainan antara kami masih ada," katanya kepada pemberita, hari ini.

Lim mengakui bahawa demam denggi yang dihidapinya sebelum ini nyata memberi kesan kepada prestasinya, namun gembira keadaan tersebut sudah berubah sambil bertekad meneruskan rentak kemenangan pada kejohanan kali ini.

"Saya menghidap denggi hampir seminggu sebelum menjalani proses pemulihan dalam minggu seterusnya...Sekarang, saya rasa kesihatan saya sudah pulih sepenuhnya," katanya.

Berkongsi pandangan yang sama adalah Goh yang melahirkan keyakinan mereka mampu mengekalkan rentak kemenangan apabila berdepan pasangan Taiwan itu berdasarkan rekod pertemuan sulung yang memihak kepada mereka, sebelum ini.

"Saya harap kami dapat mencipta sesuatu pada kejohanan kali ini. Apa yang perlu diperbaiki adalah konsistensi permainan kami bagi menghadapi perlawanan seterusnya," katanya.

Goh mengakui walaupun agak kepenatan kerana menyertai banyak kejohanan antarabangsa sejak kebelakangan ini, beliau tidak mahu menjadikan perkara sebenar sebagai alasan untuk beraksi di bawah tahap kemampuan sebenar.

Selain Goh dan Lim, Malaysia turut menyandarkan harapan kepada dua beregu lelaki yang lain -- Hoon Thien How/Tan Wee Kiong serta Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong.

Daripada Mazani Chan Yat Sin -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment