Wednesday, August 27, 2014

Gagal Kawal Tekanan Punca Wei Feng Tersingkir Awal Daripada Kejohanan Dunia 2014


COPENHAGEN, 27 Ogos (Bernama) -- Kegagalan menahan asakan lawan dan mengawal tekanan menjadi punca Chong Wei Feng 'bungkus awal' pada Kejohanan Badminton Dunia BWF 2014 yang berlangsung di Ballerup Super Arena, di sini pada Selasa.

Perseorangan lelaki kedua negara itu bermula cemerlang pada set pertama dengan mata 21-17, sebelum kecundang 22-24 dan 16-21 kepada semifinalis Sukan Komanwel 2014, Rajiv Ouseph dari England.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan itu, pemain kidal itu mengakui, beliau agak gugup ketika ketinggalan pada set ketiga sehingga menyebabkan pihak lawan mengutip mata mudah untuk meraih kemenangan.

"Saya tidak beraksi baik ketika sedang mendahului lawan pada set ketiga sebelum lawan berjaya mengurangkan jurang mata dengan saya.

Mungkin saya hilang fokus selain banyak memberi tekanan kepada diri sendiri...saya akui perlawanan pertamanya biasanya agak sukar bagi saya dalam mana-mana kejohanan," katanya.

Pemain kelahiran Kedah itu turut menyatakan kesediaan untuk memberi peluang kepada pemain negara yang lain seandainya khidmatnya tidak diperlukan, selepas ini.

"Saya juga bersedia untuk menerima kritikan daripada peminat (di tanahair). Perkara itu (kritikan) adalah normal jika kita kalah tapi sebagai seorang pemain (profesional), kita kena menerima perkara itu," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek kurang berpuashati dengan corak persembahan yang dipamerkan Wei Feng yang banyak memberikan tekanan kepada diri sendiri.

Katanya, pemain berkenaan sepatutnya bijak mengawal tekanan ketika ketinggalan kepada pihak lawan dan mencari jalan terbaik untuk mengatasi kelemahan itu.

"Saya lihat beliau memberi tekanan kepada diri sendiri walhal beliau mengawal sebahagian besar perlawanan...selepas beliau ketinggalan kepada pihak lawan, saya lihat perancangan taktikal beliau sudah bertukar sama sekali," kata Rashid.

Bekas pemain negara era 90-an itu mengakui, barisan kejurulatihan kebangsaan tetap memerlukan khidmat Wei Feng pada Sukan Asia di Korea Selatan, bermula 19 Sept ini walaupun pemain itu mempamerkan prestasi hambar dalam beberapa kejohanan termasuk Sukan Komanwel 2014 di Scotland, Julai lepas.

"Kita tiada pilihan lain...sekiranya beliau tidak bermain (pada Sukan Asia 2014), siapa lagi pemain yang kita boleh harapkan. Itu hakikat yang perlu kita terima," kata Rashid yang turut meminta pemain itu menilai kembali persembahannya.

Kekalahan Wei Feng menyaksikan pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei menjadi sandaran utama skuad badminton negara dalam acara berkenaan.

Chong Wei yang menumpaskan Lee Dong Keun dari Korea Selatan pada pusingan awal pada Isnin, dijadual berdepan wakil Jerman, Dieter Domke pada aksi seterusnya Rabu.

Daripada Mazani Chan Yet Sin -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment