Thursday, August 07, 2014

Danyal ‘takut’ tetap sasaran

Kuala Lumpur: Mengambil iktibar daripada kegagalan pada temasya Sukan Komanwel Glasgow minggu lalu, Chef-de-Mission (CDM) Sukan Asia 2014 Incheon Datuk Danyal Balagopal seolah-olah mengambil langkah selamat apabila menegaskan pihaknya masih belum menetapkan sebarang sasaran pingat buat kontinjen negara ketika ini.

Sambil mengakui tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti berlaku di Scotland, Danyal kelihatan lebih realistik dengan berkata, sasaran itu hanya akan dimaklumkan kepada pihak media dan umum tiga hari sebelum temasya sukan paling terbesar di benua Asia itu bermula dari 19 September hingga 4 Oktober ini.

“Kami belum lagi mengenal pasti secara sah pungutan pingat yang akan kita tetapkan kali ini.

Memandangkan Sukan Komanwel baru saja selesai, apa yang berlaku sepanjang Komanwel juga akan diambil kira sebelum kami membuat keputusan.

“Ini kerana rata-rata atlet mewakili negara ke Komanwel juga muka sama yang akan di bawa ke Korea nanti.

Kami akan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk melihat prestasi semasa atlet dan kemampuan kita di Sukan Asia pula.

“Tekanan pastinya ada di pihak sekretariat, justeru saya mahu pastikan sasaran ditetapkan kali ini benar-benar relevan dengan keupayaan atlet serta standard pertandingan,” katanya.ketika pada Majlis Pelancaran Program Team Samsung bersempena kehangatan Sukan Asia Incheon, di Kuala Lumpur, semalam Seramai 550 atlet dan pegawai dijangka menyertai Sukan Asia 2014 Incheon dengan Malaysia menyertai 29 daripada 36 acara yang dipertandingkan.

Berdasarkan rekod pada temasya empat tahun lalu di Guangzhou, China, Malaysia meraih sembilan pingat emas, 18 perak dan 13 gangsa.

“Jika tanya saya, sudah tentu saya mahu pencapaian empat tahun lalu diatasi kali ini.

“Sebab itu untuk kem latihan kontinjen negara kali ini, kami akan menambah baik beberapa program kepada atlet agar mereka benar-benar bersedia menghadapi cabaran di sana.

“Untuk itu, pada 12 Ogos ini, kami akan mengadakan mesyuarat bersama pengurus pasukan setiap jenis sukan.

“Pada 15 Ogos pula, mesyuarat sekretariat akan diadakan bagi membincangkan hal berbangkit dan terakhir pada 18 Ogos bersama MSN (Majlis Sukan Negara) dan MOM (Majlis Olimpik Malaysia), sebelum YB (Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar) memaklumkan sasaran negara di Sukan Asia,” katanya.



Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment