Thursday, August 07, 2014

Chong Wei Mahu Liew Daren Kaji Program Latihannya

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Pemain badminton nombor satu negara dan dunia Datuk Lee Chong Wei mahu Liew Daren kaji semula program latihannya sehingga membolehkannya meraih pingat emas pada Terbuka Perancis 2012.

Chong Wei berkata sebagai seorang juara, sudah tentu Liew mengalami sedikit tekanan untuk mengekalkan kedudukan dan prestasinya serta keadaan itu telah mengganggu prestasinya kini.

"Saya berlatih bersama dia...jadi saya nampak dia tertekan dan tidak boleh keluar daripada perasaan itu. Ia benar-benar sukar. Lepas kalah, dia tertekan tapi saya pesan kepada Liew supaya pandang ke depan.

"Saya harap dia dapat bangkit semula selepas beberapa kekalahan dan prestasi buruk yang dipamerkannya," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kempen Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan oleh Samsung di sini Rabu.

Chong Wei berkata beliau yakin Liew mahukan kejuaraan namun prestasi tidak memberangsangkan dipamerkan pemain itu pada Sukan Komanwel adalah berpunca daripada masalah keyakinan.

Ditanya mengenai kemarahan yang ditunjukkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong terhadap prestasi buruk Liew, Chong Wei berkata Zolkples sentiasa memantau prestasi atlet.

"Datuk Zolkples sentiasa menyaksikan setiap perlawanan yang disertai Liew, jadi dia tahu sejauh mana prestasi Liew. Masalah Liew ialah dia tidak punya kemahuan yang cukup tinggi.

"Bagi saya walaupun kalah, semangat untuk melawan kekalahan itu kena ada. Sekurang-kurangnya dia kena tunjukkan kesungguhan ketika di gelanggang," katanya.

Berhubung kecederaan pergelangan tangan dialaminya sehingga menyebabkan beliau terpaksa menarik diri ke Sukan Komanwel, Chong Wei berkata beliau masih belum pulih sepenuhnya.

Katanya beliau baharu sahaja menjalani latihan sejak seminggu lepas sebagai persediaan ke Kejohanan Badminton Dunia 2014 di Copenhagen, Denmark yang dijadualkan 25 hingga 31 Ogos ini.

"Sukan Asia dan World Championship sudah dekat jadi saya kena pastikan kecederaan ini pulih sepenuhnya. Setiap hari saya masih buat pemulihan selepas latihan untuk pastikan ia tidak semakin teruk.

"Kecederaan sejak tahun 2012 ini amat sukar bagi saya, saya kena sentiasa berjaga-jaga dan ia masih lagi sakit. Lagipun saya kena berhati-hati sehingga Sukan Olimpik 2016," katanya.

Chong Wei berkata beliau tidak merasa tertekan dengan sasaran yang diletakkan MSN kepadanya kerana baginya menjadi tanggungjawab beliau menyahut cabaran berkenaan.

Beliau berharap dapat meraih pingat emas bagi acara perseorangan pada Kejohanan Badminton Dunia dan penampilan terakhirnya di Sukan Asia pada September ini.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment