Tuesday, August 19, 2014

China Masih Ungguli Carta Pungtan Pingat Manakala M'sia Belum Nampak Hasil


NANJING (China), 18 Ogos (Bernama) -- China seolah tidak ingin membuka ruang kepada negara lain pada Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) apabila terus mengungguli kedudukan teratas kutipan pingat pada hari kedua temasya edisi kedua itu di sini hari ini.

Negara Tembok Besar itu, kini mengumpul sebanyak empat butir pingat emas, satu perak serta empat gangsa dan mengatasi pencabar terdekatnya iaitu Rusia yang mengutip empat emas, satu perak dan tiga gangsa.

Hungary yang sebelum ini gagal meraih sebarang pingat berjaya menempatkan diri di tempat ketiga carta kutipan pingat selepas berjaya mengumpul empat emas dan dua pingat gangsa.

Wakil dari negara Asia Tenggara, Thailand, yang sebelum ini berada di tempat ke-11, berjaya memperbaiki kedudukan di tangga keenam selepas mengutip dua pingat emas.

Malaysia masih belum memperolehi sebarang pingat tetapi menaruh harapan dalam acara badminton dan terjun.

Skuad badminton negara berjaya meneruskan rentak kemenangan apabila berjaya memenangi semua perlawanan pusingan kedua yang berlangsung di Gimnasium Institut Sukan, dekat sini.

Dua wakil dari kem badminton negara, Cheam June Wei dan Lee Ying Ying meraih kemenangan kedua selepas mengalahkan lawan masing-masing dalam acara perseorangan lelaki, wanita dan juga beregu campuran.

Pada aksi beregu campuran kumpulan C, Cheam yang digandingkan bersama pemain Hong Kong, Tsz Yau Ng mengalahkan gandingan Wolfgang Gnedt (Austria)/ Sabrina Solis (Mexico) dengan 21-9 dan 21-8.

Berbeza dengan kejohanan badminton lain, YOG 2014 menetapkan syarat beregu campuran perlu berpasangan dengan negara lain dan tidak dibenarkan berganding bersama rakan senegara.

Lee yang beraksi dalam kumpulan D dengan gandingan pemain Taiwan, Chia Hung Lu mengalahkan pasangan China, Cao Cung Pham/ Aliye Demirbag (Turki) dengan 21-18, 17-21 dan 21-7.

Kem menembak negara gagal meraih pingat selepas Abdul Hadi Abdul Malek hanya menduduki tempat ke-12 daripada 20 peserta dengan kutipan 558 mata pada saingan awal acara 10m air pistol individu di Lapangan Menembak Fangsha, Nanjing.

Skuad pelayaran negara bermula agak baik apabila Asri Azman menduduki tempat kelima daripada 32 peserta pada perlumbaan pusingan pertama kategori bot jenis Byte CII individu lelaki di Tasik Jinniu.

Rakan senegara, Nurshazrin Mohammad Latif yang beraksi dalam kategori wanita jenis bot yang sama hanya sekadar menduduki tempat ke-13 daripada 30 peserta.

Tumpuan negara esok masih kepada acara badminton apabila skuad negara beraksi di pusingan penentuan untuk memperolehi tiket ke perlawanan suku akhir.

Turut beraksi esok ialah atlet, renang, pelayaran dan gimnastik manakala acara golf akan membuka tirai esok.

Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment