Monday, August 18, 2014

China Dominasi Kutipan Pingat Hari Pertama YOG 2014


NANJING, 17 Ogos (Bernama) -- China melaungkan amaran awal untuk mempertahankan kejuaraan keseluruhan Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) apabila mendominasi kutipan pingat hari pertama temasya edisi kedua di sini hari Ahad.

China, yang muncul juara keseluruhan pada edisi pertama di Singapura pada 2010, mengumpul tiga emas dan lima gangsa diikuti Rusia dan Amerika Syarikat yang masing-masing mengumpul satu emas, satu perak dan satu gangsa.

Australia meraih pingat emas pertama temasya menerusi atlet wanita acara triatlon, Brittany Dutton, yang meninggalkan pencabar terdekat Stephanie Jenks dari Amerika Syarikat dengan 37 saat.

Dutton mencatatkan masa 59 minit 56 saat manakala pingat gangsa dimenangi oleh atlet Perancis, Emillie Morier dengan masa sejam 55s.

Wakil negara Asia, Thailand dan Vietnam turut mengutip pingat emas pertama menerusi peserta taekwondo Wongpattanakit Panipak (Thailand) dalam acara 44kg wanita dan perenang wanita Vietnam, Thi Anh Vien dalam acara 200m rampaian individu.

Walaupun Malaysia gagal mengutip sebarang pingat, namun skuad badminton menceriakan kontinjen negara selepas Cheam June Wei dan Lee Ying Ying masing-masing menang perlawanan pertama kumpulan dalam acara perseorangan lelaki dan wanita serta beregu campuran.

Pada aksi beregu campuran kumpulan C, Cheam yang digandingkan dengan pemain Hong Kong, Tsz Yau Ng berjaya mengalah gandingan Wolfgang Gnedt (Austria)/ Sabrina Solis (Mexico) dengan mata 21-17 dan 22-20.

Berbeza dengan kejohanan badminton lain, YOG 2014 menetapkan syarat beregu campuran perlu berpasangan dengan negara lain dan tidak dibenarkan berganding bersama rakan senegara.

Lee, yang beraksi dalam kumpulan D yang digandingakan bersama pemain Taiwan, Chia Hung Lu berjaya mengalahkan gandingan Cao Cung Pham (China)/ Aliye Demirbag (Tukri) dengan mata kemenangan 19-21, 21-19 dan 21-7.

Selepas memenangi perlawanan pertama acara perseorangan, Cheam dan Lee akan meneruskan cabaran dalam peringkat kumpulan masing-masing untuk memburu slot suku akhir.

Esok, acara menembak dan kapal layar akan bermula.

Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment