Friday, August 08, 2014

Cai Lin Intai Pingat Di Incheon


KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Perenang kebangsaan, Khoo Cai Lin meletakkan harapan untuk membawa pulang pingat pada Sukan Asia 2014 di Korea Selatan, yang bermula 19 Sept.

Perenang berusia 25 tahun itu mengaku bahawa beliau tidak begitu menyerlah pada Sukan Komanwel di Glasgow yang baru berakhir tetapi menaruh harapan untuk persembahan lebih cemerlang dalam acara 400m dan 800m gaya bebas di Incheon.

"Saya mengintai pingat pada Sukan Asia terutama dalam acara 800m gaya bebas dan juga dalam acara 400m," kata beliau kepada pemberita pada majlis pelancaran slogan baharu PUMA 'Forever Faster' di sini pada Khamis.

Cai Lin berkata beliau sekarang menjalani latihan seperti biasa di bawah pengawasan ketua jurulatih kebangsaan, Paul Birmingham di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil sekembalinya dari Glasgow.

"Saya tidak mengalami apa-apa kecederaan buat masa ini dan ini memberi suntikan semangat kepada saya pada Sukan Asia," kata Cai Lin, pemenang Anugerah Olympian 2007.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment