Thursday, August 07, 2014

Buat apa hendak salahkan atlet?

Kosmo!: Persoalan mengenai bajet dan sasaran pingat menjadi isu paling panas dikaitkan dengan kontinjen negara ke Sukan Komanwel. Selaku antara individu yang berpengalaman dalam isu ini termasuk pernah menjadi peneraju ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada 1998, apa pandangan Datuk? 

MAZLAN: Menentukan sasaran pingat sebelum temasya sukan berlangsung bagi saya tidak menepati proses perancangan dan pelaksanaan apa-apa program pun termasuklah menyediakan kontinjen negara. Dalam kes ini, Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland.

Kita tidak tahu sasaran yang diletakkan di awal program, itu maksud saya. Kita hanya tahu, mereka letak tujuh emas tetapi sebelum program, kita tidak tahu (jika ada).
Buat program, letak sasaran semasa program dan kemudian nilai semula dengan keadaan semasa atlet. Itu baru betul!

Logiknya, pada tahun 2011 kita meletakkan sekurang-kurangnya perlu menyamai kutipan terdahulu (2010) iaitu 12 pingat atau lebih.

Kemudian baru buat program, mana atlet yang boleh disasarkan dan kemudian baru minta bajet.
Bajet selalunya diberi mengikut sasaran yang diberi. Logiknya, tidak patut minta bajet tinggi tetapi sasaran yang diletakkan begitu rendah. Jika ia berlaku dan kelulusan itu dilakukan tanpa asas yang kukuh.

Bagi saya, perkara ini kurang sempurna dan perlu dilihat dengan lebih mendalam oleh pihak berkaitan.

Imej negara pada kali ini dilihat agak tercalar sejak Sukan Komanwel 1998 iaitu tahun Malaysia menjadi tuan rumah. Apa pandangan Datuk dalam isu ini? 

Kerajaan telah membelanjakan sejumlah wang untuk membangunkan infrastruktur di Bukit Jalil serta tempat lain dalam menghadapi Sukan Komanwel pada 1998.

Ini menunjukkan kerajaan serius dan mahu memastikan pretasi atlet berada di tahap terbaik, bukan sahaja sebagai wakil tuan rumah tetapi untuk masa panjang.

Hasilnya, kita berjaya mendapat 10 emas dan ia adalah antara pencapaian terbaik bagi industri sukan negara, malah ia berjaya dikekalkan sehingga di New Delhi, India empat tahun lalu.

Pada pandangan saya, jika meletakkan tujuh emas sebagai sasaran, kita tidak berlaku adil kepada pelaburan kerajaan di Bukit Jalil dan peruntukan untuk pembangunan atlet yang dilakukan sebelum tahun 1998.

Saya pernah mengatakan pada 2001 selepas Sukan SEA yang mana kita muncul juara keseluruhan dengan Malaysia meraih 111 pingat emas.

Ketika itu saya tegaskan, kita perlu mula menumpukan sasaran pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia dan menetapkan perlu meraih emas dalam dua angka iaitu melebih 10 emas secara konsisten.
Saya memang menggalakkan pemimpin sukan selepas saya berusaha meraih emas lebih daripada 10 dan saya sama sekali tidak cemburu jika mereka berjaya melakukannya.

Ini adalah berkaitan imej, malah harapan negara dan jika sasaran semakin menurun, apa gambarannya?

Begitu juga dengan infrastruktur di Bukit Jalil. Apa gunanya kerajaan membelanjakan bajet yang tinggi tapi prestasi tidak konsisten?

Datuk ada menyentuh mengenai sikap Cut & Paste program yang diamalkan oleh kebanyakan pengurusan sukan di Malaysia. Adakah ia antara virus yang menyebabkan kemerosotan kecemerlangan Malaysia di pentas antarabangsa? 

Saya telah lama perhatikan sikap ini dan bagi saya, sangat menjengkelkan. Menjengkelkan kerana ia mematikan budaya kreatif yang perlu ada pada setiap ahli tertinggi dalam persatuan dan pengurusan sukan.

Sudah tiba masanya budaya ini dibuang jika mahu memajukan sukan negara. Cari idea baharu, buka mata dengan pencapaian negara lain.

Tidak betul jika kita hanya mahu terus kekal dengan program sedia ada tetapi pada masa yang sama, mahu prestasi atlet meningkat dan meraih lebih banyak emas.

Cuba tengok Korea Selatan, Jepun serta beberapa negara lain yang semakin maju dalam acara yang sebelum ini bukan kepakaran mereka.

Saya percaya, mereka tidak hanya bergantung kepada jurulatih tetapi pada masa yang sama, secara berterusan mencari idea- idea kreatif dalam memajukan sukan di negara mereka.

Hasilnya, mereka kini begitu pantas mencungkil muka-muka baharu dengan mendominasi dalam pelbagai acara di kejohanan dunia.

Bukan itu saja, hubungan dua hala yang 'berfungsi' dengan baik antara persatuan sukan dan badan induk sukan negara perlu diperbaiki segera.

Jangan asyik salah menyalahkan antara satu sama lain dan akhirnya tempias kepada atlet.
Dahulu saya telah mewujudkan jawatankuasa bersama untuk menghadapi kejohanan besar dalam memastikan setiap masalah dapat diselesaikan bersama.

Jadi, kenapa tidak diteruskan? Ini kerana tanpa komunikasi yang telus, memang susah untuk melihat pencapaian yang lebih bagus.

Adakah Exit Policy yang pernah diperkenalkan dulu mampu menukar arah hala tuju sukan Malaysia?
Bagi saya, ia memang wajar diaktifkan semula. Bukan saja dalam MSN tetapi dalam organisasi kerajaan yang lain.

Maksud saya, ketua pegawai eksekutif (CEO) yang tidak menunjukkan prestasi atau tidak berdaya maju, perlu diganti segera dengan orang lain.

Exit Policy akan membolehkan idea dan orang baharu dibawa masuk ke dalam organisasi dengan lebih baik dan hala tujunya lebih jelas.
Ini saya percaya, banyak berkait rapat dengan budaya Cut & Paste.

Ia membolehkan peneraju utama sesebuah organisasi sentiasa bekerja keras dan tidak terlalu berada dalam zon selesa disebabkan status jawatan mereka.

Selain itu, saya juga mencadangkan agar tempoh sesuatu jawatan itu tidak terlalu lama dipegang oleh seseorang. Bagi saya, cukuplah sekurang-kurangnya lapan tahun.

Ini secara logiknya akan membuatkan pemegang jawatan 'tidak tidur' dan sedar risiko yang akan dihadapi jika prestasinya tidak mencapai standard.

Kem latihan berpusat yang selama ini menjadi tradisi menjelang temasya besar tidak diadakan pada kali ini. Adakah ia turut menjadi faktor kegagalan kontinjen negara pada Sukan Komanwel?

Kem ini berguna berdasarkan kepada pengisiannya. Bagi saya ia perlu diadakan paling kurang, tiga hari. Ini kerana, setiap pasukan dan pengurusan tidak sama tahap kecekapannya.

Jadi, sepanjang tiga hari itu, ia memberi peluang kepada pengurus sukan melakukan persiapan terakhir dengan lebih sempurna, sekali gus mengurangkan kebimbangan atlet.

Bagi saya, ia tidaklah mencapai tahap mandatori diadakan tetapi ada baiknya dibuat setiap kali menghadapi saingan sukan bertaraf dunia.

Sebab itu saya juga berpendapat, bagi menghadapi Sukan SEA 2017 yang mana kita menjadi tuan rumah, kem latihan ini wajib diadakan.

Ia akan menjadi satu momentum yang mana kita boleh melonjakkan semangat para atlet. Tidak kira atlet di luar negara balik atau tidak, saya percaya ia perlu dibuat.

Gagal mencapai sasaran dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengakui kegagalan tersebut. Apa pandangan Datuk?

Secara peribadi, saya kasihan dengan apa yang perlu ditanggung oleh Khairy dengan mengambil kira tempoh beliau memegang jawatan tersebut.

Paling memalukan, beliau terpaksa berdepan dengan kegagalan kita pada Sukan Komanwel.
Kini, beliau terpaksa mencari jalan terbaik dalam memulihkan keadaan dan pada masa sama memastikan kontinjen negara tidak berdepan kegagalan sekali lagi pada Sukan Asia.

Saya berharap, bedah siasat yang diarahkan beliau ke atas pengurusan kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel dapat memberi idea kepada beliau untuk membetulkan keadaan.

Dalam pada itu, saya tetap menyokong hasrat beliau yang mahu melihat kebangkitan serta kemajuan atlet khususnya dalam sukan berprestasi tinggi.

Saya lihat, beberapa program pembangunan seperti sukan bola sepak dan tenis mula menunjukkan perkembangan berbanding beberapa tahun lalu.

Bagaimana Datuk melihat kualiti atlet yang bertanding pada Sukan Komanwel kali ini? 

Buat apa hendak disalahkan atlet? Bagi saya, naik turun prestasi atlet, banyak bergantung kepada pengurusan.

Bagi saya, dalam hal ini atlet dianggap tentera dan mereka hanya mengikut apa yang dikatakan oleh pihak teratas. Jadi, jika ada kesilapan atau kelemahan, 'tangkap' dulu golongan ini dan betul- kannya.

No comments:

Post a Comment